Kerajaan Negeri Kelantan menjelaskan bahawa peruntukan yang diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi projek Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) berjumlah RM30 juta, bukannya RM250 juta seperti yang diperkatakan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Dato' Dr. Izani Husin berkata, jumlah berkenaan berdasarkan surat kelulusan rasmi yang diterima oleh kerajaan negeri.
Beliau turut menjelaskan bahawa peruntukan RM500 juta yang pernah diumumkan Perdana Menteri sebelum ini masih belum diterima oleh Kelantan.
Menurutnya, kerajaan negeri masih menunggu proses penyaluran peruntukan itu diselesaikan sebelum projek berkaitan dapat dilaksanakan.
Pembangunan negeri tanggungjawab bersama
Mengulas hubungan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan, Izani menegaskan bahawa pembangunan Kelantan bukan soal belas ihsan, sebaliknya tanggungjawab bersama dalam sistem Persekutuan.
Beliau turut berharap hubungan baik antara Menteri Besar Kelantan dengan Perdana Menteri dapat dimanfaatkan bagi menyelesaikan tuntutan wang tunai petroleum Kelantan berdasarkan perjanjian pada 1975.
Katanya, Kelantan berpotensi memperoleh hasil sehingga RM2 bilion setahun daripada sumber berkaitan Joint Development Area (JDA).
Hasil petroleum boleh perkukuh kewangan Kelantan
Menurut Izani, sekiranya hasil berkenaan dapat diperoleh, Kelantan akan mempunyai keupayaan kewangan yang lebih besar untuk melaksanakan pembangunan infrastruktur, memperbaiki bekalan air dan meningkatkan kemudahan rakyat.
Keadaan itu juga berpotensi mengurangkan kebergantungan negeri terhadap peruntukan yang diumumkan secara berasingan.
Perkara tersebut dinyatakan Dato' Dr. Izani Husin ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Negeri Kelantan 2027.
Sumber: Media Point
