Dahulu, hubungan Kerajaan Kelantan dan Persekutuan sering menjadi perhatian apabila timbul isu peruntukan serta projek pembangunan yang dimohon negeri.
Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak projek dan peruntukan diumumkan untuk Kelantan, termasuk beberapa projek berskala besar yang bakal memberi kesan kepada kemudahan awam, pengangkutan, pendidikan dan pengurusan banjir.
Perkembangan terbaharu ialah kelulusan RM250 juta bagi pembangunan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan ke Kota Bharu pada 31 Oktober 2026.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyertai Program Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi.
Foto: DPP Official Media
Anwar berkata, surat kelulusan projek berkenaan sudah dihantar kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Menurutnya, kemudahan terminal bas perlu dinaik taraf supaya seiring dengan pembangunan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).
Beliau turut menyentuh keadaan terminal bas yang masih belum dibaik pulih seperti kemudahan lapangan terbang.
Selain RM250 juta untuk KB Sentral, lawatan Perdana Menteri itu turut menyaksikan beberapa pengumuman berkaitan kemudahan kesihatan, masjid dan institusi pendidikan Islam.
Antaranya ialah:
- - RM2.5 juta bagi menyediakan kemudahan dialisis di masjid terpilih menerusi kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Radicare.
- - RM645,000 bagi projek Wakaf Air dan pemasangan solar di masjid terpilih yang berdepan masalah bekalan air serta elektrik.
- - RM500,000 bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf termasuk kemudahan asrama Sekolah Menengah Agama Darul Ulum Al-Muhammadiyyah di Padang Kolam.
- - RM6.628 juta bagi membaik pulih 42 institusi pendidikan Islam, selain RM700,000 yang diumumkan sebelum ini untuk tujuh institusi.
- - Kelulusan penyediaan teknologi pembedahan robotik di Hospital Pakar USM, Kubang Kerian.
Bagi pendidikan Islam, keseluruhan peruntukan tahun ini berjumlah RM7.328 juta untuk 48 institusi.
Jumlah itu merupakan kesinambungan peruntukan RM9.362 juta yang disediakan pada 2025 bagi menaik taraf prasarana 23 institusi pendidikan Islam di Kelantan.
Empangan Lebir, ECRL Antara Diberi Perhatian
Jika dilihat kepada projek pembangunan berskala besar, Kelantan turut menerima beberapa perkembangan penting dalam sektor pengangkutan dan pengurusan sumber air.
Antaranya ialah cadangan pembinaan Empangan Lebir yang diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.
Projek itu berpotensi membantu menangani masalah banjir selain meningkatkan bekalan air bersih di negeri ini.
Satu lagi perkembangan penting ialah cadangan menyambung jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Anwar pada 24 September 2026 memaklumkan bahawa Malaysia dan China bersetuju dengan cadangan penyambungan jajaran berkenaan yang dianggarkan sepanjang 25 kilometer.
Sambungan itu berpotensi membuka hubungan rel terus dengan Thailand, sekali gus memberi peluang kepada pembangunan ekonomi di kawasan sempadan.
Bagaimanapun, perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan masih diperlukan sebelum pelaksanaan projek diperincikan.
Dalam masa sama, projek ECRL sedia ada yang menghubungkan Kelantan dengan Lembah Klang turut menjadi antara pembangunan infrastruktur utama negeri.
Lapangan terbang, tebatan banjir dan jalan raya
Projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) juga menjadi antara pembangunan penting yang sedang dilaksanakan.
Kerja pemanjangan landasan dan penambahbaikan kemudahan lapangan terbang itu dijangka meningkatkan keupayaan prasarana penerbangan negeri.
Dalam sektor pengurusan banjir pula, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (PLSB) menjadi antara projek utama yang melibatkan kawasan Pasir Mas dan Tumpat.
Selain itu, beberapa projek infrastruktur lain turut disenaraikan dalam perancangan Belanjawan 2026, termasuk sistem saliran Bandar Baru Tunjong, naik taraf Jalan Kubang Kerian-Bachok, Jalan Pasir Mas-Salor serta sistem bekalan air luar bandar di Pasir Mas.
Peruntukan pembangunan Kelantan meningkat kepada RM8 bilion
Pada April 2026, Anwar turut mengumumkan peningkatan peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan untuk Kelantan daripada RM3.19 bilion kepada RM8 bilion.
Beliau berkata, peruntukan pembangunan bagi tahun sebelumnya berjumlah RM3.19 bilion, berbanding RM1.55 bilion pada 2022.
Angka itu menunjukkan peningkatan peruntukan pembangunan yang diumumkan untuk negeri ini dalam tempoh berkenaan.
Menteri Besar: Hampir semua permohonan diluluskan
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, hampir semua permohonan projek pembangunan dan infrastruktur yang dikemukakan kerajaan negeri mendapat kelulusan Persekutuan.
Beliau berkata perkara itu hasil hubungan dan kerjasama baik antara kedua-dua pihak menerusi perbincangan serta kesepakatan.
Antara perkembangan yang disebut termasuk naik taraf LTSIP, cadangan sambungan ECRL ke Rantau Panjang dan Empangan Lebir.
Beliau turut menyifatkan kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand sebagai faktor penting dalam perancangan pembangunan negeri.
Mohd Nassuruddin berkata, pembangunan infrastruktur seperti pelabuhan juga diperlukan bagi menarik pelaburan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
Bagaimanapun, kelulusan projek tidak bermaksud semuanya sudah siap atau boleh dilaksanakan serta-merta. Setiap projek masih perlu melalui proses perancangan, peruntukan, perolehan dan pelaksanaan mengikut keperluan masing-masing.
Bukan sekadar soal siapa memerintah
Perkembangan ini memperlihatkan bagaimana kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan boleh memainkan peranan dalam membawa masuk projek pembangunan untuk rakyat.
Foto: Pejabat Perdana Menteri
Walaupun kedua-dua pentadbiran datang daripada gabungan politik berbeza, projek berkaitan kemudahan awam, pengangkutan, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat tetap memerlukan penyelarasan bersama
Persoalannya kini bukan sekadar berapa banyak projek yang diumumkan atau diluluskan, tetapi sejauh mana semuanya dapat diterjemahkan kepada pembangunan sebenar yang dirasai rakyat Kelantan.
