Abbe Hae Bimbang Kehadiran PATI, Rohingya di Kelantan Semakin Meningkat

Bagi aktivis masyarakat, Abbe Hae, isu kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan komuniti Rohingya di Kelantan perlu diberi perhatian serius sebelum keadaan menjadi lebih sukar untuk dikawal.

Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan itu berkata beliau menerima banyak maklumat daripada masyarakat, terutama berkaitan kehadiran komuniti Rohingya di beberapa kawasan di negeri ini.

Menurutnya, empat daerah yang dikenal pasti mempunyai kehadiran komuniti Rohingya paling tinggi berdasarkan pemantauan pihaknya ialah Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas.

Abbe Hae berkata setiap laporan yang diterima akan diteliti dengan turun sendiri ke lokasi sebelum maklumat disalurkan kepada pihak berkuasa.

Antara contoh yang dikongsikannya ialah dakwaan mengenai tanah seluas lebih dua hektar di Tanah Merah yang disewakan kepada komuniti Rohingya untuk tanaman sirih.

Beliau turut mendakwa terdapat penduduk yang menyewakan kediaman di tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada komuniti berkenaan.

Katanya, usaha memantau isu itu bukan untuk mencari nama, sebaliknya kerana tidak mahu Kelantan berdepan keadaan seperti yang berlaku di Lembah Klang.

"Justeru, kita perlu berusaha daripada sekarang bagi membendung atau mengekang isu ini kerana saban hari semakin ramai sama ada PATI atau Rohingya.

"Penduduk akan jadi hidup dalam kebimbangan walaupun kebanyakan pergaduhan yang berlaku dalam kalangan etnik berkenaan adalah membabitkan rakan senegara.

"Jadi semua pihak perlu berganding bahu sama ada pihak berkuasa, kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya Kelantan tidak dibanjiri PATI atau komuniti Rohingya.

"Kita juga tidak mahu ada dalam kalangan penguat kuasa bersikap tidak amanah atau tidak jujur berhubung isu PATI dan Rohingya ini," katanya.

Isu itu turut menjadi perhatian selepas Abbe Hae ditahan bersama 15 individu lain bagi memberi keterangan di IPD Kota Bharu. Bagaimanapun, beliau dan individu lain dibebaskan pada jam 12 tengah hari keesokan harinya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini dilaporkan berkata dua kertas siasatan dibuka berhubung isu tular membabitkan seorang aktivis media sosial serta isu berkaitan komuniti Rohingya di Kelantan.

Kedua-dua kertas siasatan itu dilaporkan dibuka mengikut Seksyen 341/268 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!