Kebakaran tanah gambut di Desa Jelutung II, wilayah Bangka Belitung, Indonesia, merebak ke kawasan perumahan sehingga memusnahkan 305 rumah penduduk dan menjejaskan kira-kira 500 orang.
Menurut laporan Detik News, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian itu. Bagaimanapun, usaha memadamkan kebakaran masih diteruskan kerana terdapat titik api yang belum padam sepenuhnya, termasuk di bawah permukaan tanah gambut.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Brigedier Jeneral Murry Mirranda berkata, pihak polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta beberapa agensi lain sedang berusaha memadamkan sisa kebakaran yang tersembunyi di bawah tanah.
“Di bahagian bawah tanah masih ada api yang menyala.
“Kita berganding bahu memadamkan sisa api ini bagi memastikan tiada cetusan kebakaran baharu yang boleh merebak semula,” katanya ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS), malam semalam.
Kebanyakan Rumah Dibina Di Atas Tanah Gambut
Menurut Murry, kebanyakan kediaman yang musnah merupakan rumah separuh kekal yang dibina di atas kawasan tanah gambut seluas empat hektar.
Keadaan itu turut menimbulkan cabaran kepada pasukan penyelamat kerana sisa api masih boleh menyala di bawah permukaan tanah walaupun kebakaran di bahagian atas kelihatan sudah reda.
Setakat ini, seramai 213 anggota polis ditempatkan di lokasi bagi memantau pergerakan titik api serta memastikan keselamatan kawasan terjejas.
500 Mangsa Terima Bantuan Asas
Bagi membantu penduduk yang kehilangan tempat tinggal, pihak berkuasa menyalurkan pelbagai bantuan asas kepada kira-kira 500 mangsa yang terjejas.
Antara bantuan yang dihantar termasuk barangan keperluan asas dan pakaian terpakai menggunakan tiga buah lori.
Sementara itu, punca sebenar kebakaran yang memusnahkan ratusan kediaman berkenaan masih dalam siasatan polis.
