Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu terbabas sebelum merempuh pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa, Pasir Puteh, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada pemandu mahupun penumpang bas berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati bas berkenaan terbabas dan merempuh pagar sekolah. Terdapat empat lelaki dalam bas ekspres berkenaan iaitu seorang pemandu dan tiga penumpang.
“Manakala penumpang lain sudah keluar dari dalam bas dan menuju ke destinasi masing-masing. Kesemua penumpang dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.
Kes Kedua Dalam Tempoh Tiga Bulan
Untuk rekod, kejadian ini merupakan kes kedua dalam tempoh tiga bulan yang membabitkan kawasan SK Bukit Jawa.
Pada 5 Julai lalu, dua wanita warga Indonesia maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebuah surau di kawasan sekolah berkenaan.
Kejadian terbaharu ini sekali lagi menyaksikan sebuah kenderaan terbabas di kawasan sama, namun mujur tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan.
Sumber: Harian Metro
