Pemuda Melayu Didakwa Terlibat Ritual Agama Lain, Ini Respon Menteri Agama

Pendedahan di Facebook mengenai seorang pemuda Melayu berusia 21 tahun yang didakwa mengamalkan pelbagai ritual keagamaan dan kepercayaan spiritual mencetuskan perhatian ramai sejak beberapa hari lalu.

Dakwaan itu dikongsikan secara berperingkat menerusi akaun Facebook menggunakan nama Masyitah Ashari, termasuk dakwaan pemuda berkenaan terlibat dalam amalan berkaitan New Age Movement (NAM).

Menerusi hantaran yang dimuat naik pada Khamis, pemilik akaun itu mendakwa pemuda terbabit dilahirkan sebagai Muslim dan berasal daripada keluarga Melayu.

"Dia telah merantau ke pelbagai negara dan terlibat melakukan pelbagai ritual keagamaan. Dia mengaku dirinya seorang pawang, boleh jampi pesakit menggunakan mantera Siam dan meruqyah dengan zikir.

"Inilah bahaya ajaran 'New Age'. Penghujungnya akan membawa manusia menerima ajaran spiritual seluruh dunia dan menganggap semua agama adalah sama.

"Lebih teruk lagi apabila mereka mencampuradukkan semua fahaman sambil mendakwa dirinya masih Islam," katanya pada Khamis.

Didakwa mempelajari amalan spiritual pelbagai agama

Menurut perkongsian berkenaan, pemuda itu didakwa menyimpan hasrat untuk menjadi seorang spiritualis sejak kecil.

Dia juga dikatakan mempelajari amalan spiritual daripada pelbagai agama, termasuk Hindu, selain berpakaian dan melakukan amalan yang dikaitkan dengan fahaman tersebut.

Hantaran awal yang dimuat naik sekitar tiga hari lalu dikatakan sekadar memberi bayangan mengenai individu terbabit sebelum akaun berkenaan kemudiannya mendedahkan nama sebenar serta memuat naik beberapa keping gambar yang didakwa sebagai bukti.

Gambar ritual di Batu Caves turut tersebar

Perkongsian terbaharu itu turut mendakwa pemuda berkenaan menyertai ritual sempena perayaan di sebuah kuil di Batu Caves, Selangor.

Antara gambar yang tersebar didakwa menunjukkan individu itu menjunjung objek menyerupai berhala di atas kepala, mencucuk lidah dan pipi menggunakan trisula serta memakai terompah berpaku ketika menaiki tangga kuil pada hari perayaan Thaipusam.

Pemilik akaun berkenaan turut mendakwa ibu dan adik perempuan pemuda itu menyokong kuat penglibatannya dalam amalan tersebut. Adik perempuannya dikatakan merupakan seorang pelakon muda yang sedang meningkat naik.

Pendedahan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya masyarakat Melayu Islam.

Tindakan Bakal Diambil

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya memandang serius penularan beberapa rakaman video yang didakwa memperlihatkan seorang individu beragama Islam menyertai ritual keagamaan bukan Islam.

Menurut beliau, rakaman yang tersebar itu turut memaparkan perlakuan yang dikaitkan dengan unsur pemujaan dan penggunaan mantera tertentu.

“Tindakan sewajarnya sedang diambil bersama pihak berkuasa bagi membolehkan penelitian, siasatan dan tindakan lanjut dilaksanakan mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Kerajaan tidak akan berkompromi jika terbukti menyeleweng

Dalam kenyataan sama, Dr Zulkifli menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan yang terbukti menyeleweng daripada akidah Islam.

“Sebarang tindakan akan berasaskan fakta dan hasil siasatan pihak berautoriti demi memelihara keadilan serta keharmonian masyarakat,” tambah beliau.

Kenyataan itu menyusul selepas beberapa gambar dan rakaman yang didakwa menunjukkan seorang individu beragama Islam menyertai ritual agama lain tular di media sosial.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!