Cadangan melanjutkan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan dilihat membuka peluang baharu untuk memperkukuh kesalinghubungan Malaysia dengan negara-negara serantau.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sambungan berkenaan berpotensi menghubungkan rangkaian rel Malaysia dengan jaringan rel Thailand di pantai timur, sekali gus mewujudkan hubungan lebih luas dalam rangkaian rel Pan-Asia.
Cadangan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas lawatan kerja beliau ke China baru-baru ini. Malaysia dan China telah bersetuju dengan cadangan tersebut, manakala perbincangan lanjut bersama pihak berkepentingan perlu diadakan sebelum ia dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan.
Menurut Loke, penyambungan laluan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand boleh membuka ruang kepada hubungan pengangkutan rentas sempadan yang lebih luas.
"Ini satu lagi projek yang sangat penting kerana ia akan menghubungkan Malaysia dengan rangkaian rel Thailand di sebelah pantai timur.
"Ini akan terus memperkukuh kerjasama antara pelabuhan. Kita juga berharap dapat mempertingkatkan kerjasama, khususnya antara Pelabuhan Kuantan dan Guangxi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2026 (MMW2026) di Kuala Lumpur hari ini.
Loke berkata, apabila rangkaian rel Thailand disambungkan ke sempadan Malaysia dan seterusnya ke ECRL, hubungan pengangkutan antara Malaysia, Thailand, Laos, China dan Asia Tengah dapat diperkukuh.
"Jadi, dari Malaysia ke Thailand, Laos, China dan Asia Tengah, seluruh rantau ini akan saling berhubung. Namun, ia bukan semata-mata mengenai rel kerana jaringan rel perlu dihubungkan dengan pelabuhan.
"Ia membentuk koridor darat-laut yang sangat penting di China, dan kita sedang melihat bagaimana sektor pelabuhan dapat diintegrasikan dengan sektor rel," katanya.
Rel Dan Pelabuhan Perlu Saling Dihubungkan
Menurut Loke, integrasi antara jaringan rel dan pelabuhan berpotensi membentuk rangkaian pengangkutan yang lebih menyeluruh untuk Malaysia serta rantau ini.
Beliau berkata, usaha berkenaan bukan sahaja berkaitan hubungan pengangkutan, malah boleh memberi nilai ekonomi selain kepentingan strategik dan keselamatan negara.
"Ini akan mewujudkan rangkaian pengangkutan yang sangat penting untuk negara dan rantau ini. Diharapkan ia dapat memberikan lebih nilai ekonomi serta nilai dari sudut strategik dan keselamatan, selain memastikan rantaian bekalan tidak terjejas," katanya.
Loke turut memaklumkan Malaysia dan China sudah mempunyai kerjasama melalui pakatan pelabuhan.
Perbincangan lanjut bagi memperkukuh kerjasama antara pelabuhan kedua-dua negara juga diadakan semasa lawatan kerja beliau ke China baru-baru ini.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan turut menyatakan bahawa sambungan ECRL ke Rantau Panjang berpotensi menjadi sebahagian daripada sistem rel Pan-Asia sekiranya direalisasikan, termasuk membuka hubungan dengan rangkaian rel Thailand dan seterusnya ke Laos serta China.
Terusan Pinglu Buka Laluan Ke ASEAN
Dalam perkembangan berkaitan, Loke turut mengaitkan peluang kesalinghubungan itu dengan pembukaan Terusan Pinglu di China.
Terusan berkenaan dibuka secara rasmi kepada pelayaran pada 16 September lalu.
Ia merupakan laluan air sepanjang 134.2 kilometer di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China yang menghubungkan sistem Sungai Xijiang dengan Teluk Beibu.
Terusan itu direka untuk menampung kapal sehingga 5,000 tan dan menyediakan laluan lebih pendek dari barat daya China ke laut serta pasaran ASEAN.
Dengan perkembangan jaringan rel dan pelabuhan, cadangan sambungan ECRL ke Rantau Panjang menjadi antara laluan yang berpotensi menghubungkan Kelantan dengan rangkaian pengangkutan rentas sempadan yang lebih luas.
Sumber: Berita Harian
