Atlet Muay Thai Harap Stadium Khusus Dibina Di Kelantan Menerusi Belanjawan 2027

Penggiat sukan Muay Thai berharap kerajaan mempertimbangkan peruntukan bagi pembinaan stadium khusus untuk sukan itu di Kelantan menerusi Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan.

Kemudahan berkenaan dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat selain membuka peluang lebih besar untuk Kelantan mengembangkan sektor pelancongan sukan.

Jurulatih Muay Thai, Mohamad Ridhwan Mat Zain berkata, stadium khusus penting bagi mewujudkan laluan pembangunan petinju yang lebih tersusun, lengkap dengan kemudahan daripada peringkat novice, amatur, separa profesional dan profesional sehingga ke pentas antarabangsa.

“Muay Thai bukan sekadar latihan tetapi lebih kepada mengukur tahap kemampuan kita berada di peringkat mana. Bila ada stadium, kita senang menganjurkan acara dan perkara itu menjadi penanda aras kepada petinju,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sukar Anjur Kejohanan Secara Berkala

Menurut Mohamad Ridhwan, ketiadaan lokasi khusus ketika ini menyukarkan penganjuran kejohanan secara berkala.

Kebanyakan acara terpaksa dianjurkan di lokasi terbuka, sekali gus memerlukan kerja pemasangan dan membuka semula ring selepas pertandingan.

Beliau berkata stadium berkenaan juga boleh dilengkapi kemudahan sokongan seperti pusat fisioterapi dan peralatan latihan yang lengkap bagi membantu atlet membuat persiapan dengan lebih baik.

“Kalau di luar negara, kemudahan semuanya lengkap termasuk tempat latihan, fisioterapi, persiapan pertandingan, ruang penonton dan ring yang lebih baik. Mereka juga boleh menganjurkan acara dengan lebih kerap.

“Kemudahan yang tersusun dapat menarik lebih ramai golongan belia menyertai sukan Muay Thai. Bila ada stadium dan pusat latihan, golongan belia ada sukan dan tempat yang boleh dituju serta latihan yang perlu diikuti, sekali gus boleh membantu membendung masalah sosial,” katanya.

Berpotensi Jadi Tarikan Pelancongan Sukan

Selain pembangunan atlet, Mohamad Ridhwan melihat kemudahan berkenaan berpotensi menjadikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan sukan.

Menurut beliau, penganjuran kejohanan dan kem latihan boleh menarik penganjur, petinju serta peminat dari dalam dan luar negara.

Pada masa sama, kehadiran mereka boleh memberi manfaat kepada sektor perhotelan, makanan dan peluang pekerjaan di Kelantan.

“Pelancong yang datang atas dasar sukan juga berkemungkinan tinggal lebih lama apabila tertarik dengan produk pelancongan lain yang ada di Kelantan,” katanya.

Atlet Sokong Kemudahan Lebih Lengkap

Sementara itu, atlet Muay Thai Fakhru Zaim Mohd Firdaus, 22, berkata kewujudan stadium khusus dapat menyediakan ruang yang lebih selesa kepada atlet sedia ada untuk meningkatkan prestasi.

Menurutnya, kemudahan itu juga mampu menarik lebih ramai anak muda untuk mencuba serta mengembangkan bakat dalam sukan berkenaan.

Seorang lagi atlet, Mohamad Danial Hakim Mohd Affandi, 22, turut berharap kerajaan dapat merealisasikan pembinaan stadium tersebut.

“Bagi kami sebagai atlet, kemudahan latihan yang lebih lengkap amat penting supaya setiap sesi latihan dapat dijalankan dengan lebih baik dan persediaan untuk bertanding juga lebih sempurna,” katanya.

Cadangan pembinaan stadium khusus itu kini menjadi antara harapan penggiat Muay Thai di Kelantan menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!