Kadar gaji minimum RM1,700 dijangka dinaikkan dan perincian mengenai pelarasan itu akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semakan serta kajian berhubung pelarasan kadar gaji minimum kini berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, langkah berkenaan merupakan antara usaha kerajaan menangani jurang pendapatan yang ketara, khususnya dalam kalangan graduan yang bakal memasuki alam pekerjaan.
Anwar berkata, kadar upah pekerja perlu bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti, terutama apabila sesebuah syarikat mencatatkan keuntungan yang tinggi.
“Masalahnya kita sudah naikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan sekarang RM1,700 iaitu minimum untuk sektor swasta. Kadar upah di Malaysia, produktiviti meningkat tetapi kadar upah meningkat sangat rendah. Kita gunakan kuasa kerajaan untuk menekan sedikit.
“Sejak saya jadi Perdana Menteri, saya tukar fokus itu, kadang-kadang bonus untuk ketua pegawai eksekutif (CEO), lapan bulan, pekerja bawahan (pula) dua bulan.
“Tak setuju, saya patahkan sikap itu, kalau bonus tiga bulan, CEO pun tiga bulan, pekerja tukang angkat sampah pun sama. Sebab, gaji CEO RM40,000 yang tukang angkat sampah pula RM2,000, sudahlah gajinya berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam forum pada Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.
Persoalan mengenai kebolehpasaran graduan sebelum itu dibangkitkan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Muhammad Adib Hazim Mohamad Razali.
Beliau turut menyentuh kebimbangan terhadap graduan yang akhirnya terpaksa bekerja dalam bidang yang tidak selari dengan kelayakan akademik mereka.
Gaji GLC RM3,100 Jadi Penanda Aras
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata kadar gaji minimum RM3,100 bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ditetapkan sejak tahun lalu sewajarnya dijadikan penanda aras oleh sektor swasta.
Bagaimanapun, beliau berkata masih tidak berpuas hati dengan sesetengah syarikat besar yang mencatatkan keuntungan tinggi tetapi belum meningkatkan kadar upah pekerja pada tahap yang sewajarnya.
Perincian mengenai pelarasan kadar gaji minimum baharu dijangka diketahui ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.
Sumber: Utusan
