Jeep Wrangler Milik Usahawan Wanita Popular Kelantan Antara Disita JPJ

Kelihatan mewah di jalan raya, malah ada yang bernilai ratusan ribu hingga jutaan ringgit. Namun, pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati ribuan pemilik kenderaan dalam kategori berkenaan masih gagal memperbaharui cukai jalan dan insurans.

Menerusi Op Luxury, seramai 3,790 pemilik kenderaan daripada golongan T20 termasuk pempengaruh dan usahawan kosmetik dikesan melakukan kesalahan berkenaan.

Antara yang disita ialah sebuah Jeep Wrangler bernilai hampir RM500,000 milik seorang usahawan wanita popular dari Kelantan.

Kenderaan itu disita di Jalan Taman Tengku Anis pada Khamis lalu selepas pemeriksaan mendapati lesen kenderaan motor (LKM) atau cukai jalannya telah tamat tempoh.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pempengaruh, usahawan dan peniaga merupakan antara kategori pemilik yang paling ramai dikenakan tindakan dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, lebih 20 peratus pemilik yang dikenakan tindakan sepanjang operasi terdiri daripada kategori tersebut.

Ada Cukai Jalan Tak Diperbaharui Sejak 2014

Lebih mengejutkan, terdapat kenderaan mewah yang didapati tidak memperbaharui cukai jalan sejak 2014.

Keadaan itu menyebabkan kenderaan terbabit digunakan di jalan raya selama bertahun-tahun tanpa dokumen berkaitan yang sah.

“Mereka membuat konten media sosial menggunakan kenderaan mewah untuk dilihat ramai dan apabila disemak, didapati tidak menjelaskan cukai jalan dan insurans.

“Selain gagal memperbaharui cukai jalan dan insurans ada juga kes pemandu tidak mempunyai lesen serta pelbagai kesalahan teknikal,” katanya pada sidang akhbar Op Luxury di Pejabat JPJ negeri Kelantan di Panji, di sini pada Ahad.

Saman Tertunggak Antara Punca

Muhammad Kifli berkata, terdapat pemilik yang sengaja tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans kerana mempunyai saman atau kesalahan lampau yang masih belum diselesaikan.

“Jadi trend pula mereka tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans kerana mempunyai kesalahan lampau.

“Paling tinggi mereka ada saman tertunggak kerana tidak mematuhi had laju dan disenarai hitam lalu tidak memperbaharui cukai jalan serta insurans,” katanya.

Kelantan Catat 251 Sitaan

Menurut beliau, Op Luxury dijalankan dari Jun tahun lalu sehingga 15 September lalu.

Negeri Sembilan merekodkan jumlah sitaan tertinggi dengan 469 kenderaan, diikuti Selangor sebanyak 410, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (382), Johor (367) dan Pulau Pinang (357).

Perak pula merekodkan 293 sitaan, Kelantan (251), Pahang (245), Kedah (225), Melaka (207), Terengganu (174), Sarawak (153), Sabah (148), Putrajaya (69) dan Perlis (40).

Keseluruhan kenderaan mewah yang disita dalam operasi itu dianggarkan bernilai RM550 juta, termasuk kenderaan berprestasi tinggi yang mempunyai nilai lebih RM1 juta.

“Bagi kategori kenderaan berprestasi tinggi, ada yang harganya mencecah RM8.5 juta. Hampir 95 peratus pemilik kategori ini sudah menyelesaikan bayaran.

“Bagaimanapun, kenderaan bernilai antara RM250,000 hingga RM1 juta masih banyak dikesan melakukan kesalahan, antaranya BMW, Mercedes, Toyota Alphard dan Vellfire,” katanya.

Muhammad Kifli berkata, JPJ akan terus memperhebatkan Op Luxury bagi memastikan semua kenderaan yang menggunakan jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan tanpa mengira harga, jenama atau status pemilik.

“Saya ingatkan memandu kenderaan mewah ini bukan tiket kebal daripada undang-undang,” tegasnya.

Sumber: Sinar Harian, Utusan

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!