Rumah Terbakar Di Banggu, Wang Tunai Dan Tiga Kenderaan Musnah

Seorang pengusaha kek melalui detik mencemaskan apabila rumah yang didiaminya bersama enam ahli keluarga hangus dalam kebakaran di Kampung Kedai Baru, Banggu, Kota Bharu pada Rabu.

Menurut laporan Berita Harian, kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu berlaku ketika Fatin Izyani Daud, 30, berada bersendirian di rumah sambil melipat pakaian di dalam bilik tidurnya.

Katanya, dia terdengar beberapa bunyi letupan kecil sebelum terhidu bau asap yang kuat.

"Tidak lama kemudian saya terhidu bau asap dan segera keluar dari sebelum ternampak api sudah memenuhi bilik ayah malah bara dari kayu alang juga semakin banyak jatuh.

"Tanpa membuang masa saya segera keluar rumah sehelai sepinggang dan hanya sempat mencapai beg tangan, beberapa helai pakaian di ampaian serta sebuah basikal anak.

"Pada masa yang sama saya menjerit memanggil ayah sebelum teringat dia sedang menjemput dua anak saya di sekolah," katanya.

Hanya Sempat Selamatkan Sebuah Kereta

Fatin Izyani berkata, pada mulanya dia bercadang masuk semula ke dalam rumah bagi menyelamatkan barangan penting, namun membatalkan hasrat itu apabila melihat api semakin marak.

Dia hanya sempat mengalihkan sebuah Perodua Kelisa ke tempat selamat.

Bagaimanapun, Toyota Avanza milik bapanya serta motosikal Yamaha RX-Z dan Yamaha Lagenda milik ahli keluarga tidak sempat diselamatkan dan musnah dalam kebakaran.

Kebakaran itu turut merebak ke sebuah rumah dua tingkat milik ibu saudaranya yang terletak bersebelahan sehingga menyebabkan kerosakan di bahagian tingkat atas.

Duit Raya Anak Turut Hangus

Lebih menyedihkan, Fatin Izyani berkata wang tunai sebanyak RM9,000 yang disimpan di dalam almari turut hangus dijilat api.

Daripada jumlah itu, RM4,000 merupakan duit raya milik dua orang anaknya yang belum sempat disimpan di bank.

"Wang RM4,000 duit raya anak dan memang saya bercadang untuk menyimpannya di bank cuma belum berkesempatan.

"Selain itu, semua peralatan membuat kek antaranya peti sejuk, 'chiller' dan tiga unit pembakar kek juga musnah... sangat sedih kerana itulah sumber pendapatan saya," katanya.

Selain wang tunai, pelbagai peralatan membuat kek yang menjadi sumber pendapatan keluarga turut musnah dalam kebakaran tersebut.

Setakat ini, punca kebakaran masih belum dimaklumkan oleh pihak berkuasa.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

12 Pegawai Polis Ditahan Disyaki Peras Ugut Warga China RM2 Juta
|
Seramai 12 pegawai polis pelbagai pangkat ditahan selepas dipercayai…
Mbarga, Musa Dijangka Turun Beraksi Dalam Pusingan 16 Piala FA Golok
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal meneruskan cabaran…
Wayang Kulit Kelantan Makin Sukar Bertahan, Permit Dan Kekurangan Pelapis Jadi Cabaran
|
Ramai menyangka Wayang Kulit Kelantan sudah tidak lagi diminati.Hakikatnya,…
Thailand Bina Pagar Kawat Berduri 99KM Di Sempadan Kelantan-Narathiwat
|
Wilayah Tentera Ke-4 Thailand bakal membina pagar kawat berduri…
Kanak-Kanak Autistik Tujuh Tahun Maut Terjatuh dari Tingkat 13 Pangsapuri
|
Seorang ibu dari Pasir Puteh, Kelantan tidak menyangka perasaan…
Siapa Aliff Sor Dechapan? Kenali Juara Dunia Muay Thai Dari Kelantan
|
Nama Aliff Rakib kini terpahat dalam sejarah sukan tempur…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!