Kemalangan Maut di Manek Urai, Dua Lori Bertembung Dipercayai Akibat ‘Microsleep’

Seorang pemandu lori maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori dan sebuah van di Kilometer 88, Jalan Kota Bharu–Gua Musang berhampiran Kampung Lepan Jenut, Manek Urai, petang Ahad

.Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 2.40 petang, 13 September 2026.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 2.15 petang ketika mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun, memandu lori bersama seorang kelindan berusia 32 tahun dari arah Gua Musang menuju Kota Bharu.

Apabila tiba di lokasi, lori yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah hadapan.

Pada masa sama, sebuah van yang dipandu lelaki tempatan berusia 25 tahun dan sedang mengekori lori kedua turut melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.

Pemandu lori pertama disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Kelindan lori berkenaan dan pemandu lori kedua, seorang lelaki berusia 37 tahun, masing-masing mengalami kecederaan patah paha. Pemandu van pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra untuk menerima rawatan, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital sama bagi proses bedah siasat.

Menurut polis, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang mengalami microsleep sehingga kenderaannya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori dari arah hadapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurhasmira Tajol menerusi talian 09-9666222.

Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya, terutama pemandu kenderaan berat dan mereka yang melakukan perjalanan jauh, supaya mendapatkan rehat mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!