Anwar Akan Undang Presiden Myanmar, Mahu Percepat Penghantaran Pulang Rohingya

Kerajaan Malaysia akan mengundang Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing untuk melakukan lawatan rasmi ke negara ini bagi membincangkan usaha mempercepatkan proses penghantaran pulang kira-kira 200,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah diplomatik itu bertujuan mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya yang menimbulkan keresahan dan kemarahan dalam kalangan masyarakat tempatan.

Menurutnya, kerajaan Myanmar dalam rundingan awal sebelum ini bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya secara berperingkat.

Kumpulan pertama membabitkan 1,500 orang pula akan dihantar pulang dalam tempoh antara satu hingga dua minggu ini.

“Dua minggu lalu saya memberitahu kepada Kementerian Luar Negeri (KLN) dan jemaah menteri (yang) saya akan undang Presiden Myanmar secara rasmi.

“Saya undang (sebab) saya nak bagitahu, kita boleh bersahabat, kita boleh berdagang, kita boleh terima Myanmar, tetapi Myanmar mesti terima (kembali pelarian mereka).

“Kalau tidak boleh terima 200,000 sekali gus, ambil secara berperingkat dan kita akan bantu. Ini cara penyelesaiannya,” katanya dalam audio siar Sembang Oh Yeah pada Rabu.

Malaysia Sedia Bantu Kos Penghantaran

Anwar berkata Malaysia bersedia menanggung kos logistik berkaitan proses penghantaran pulang berkenaan, termasuk menyediakan pakaian, makanan dan tambang kapal.

Menurut beliau, langkah tersebut dilihat lebih menjimatkan berbanding menanggung kos pengurusan pelarian di depoh tahanan.

Beliau berkata kos berkenaan boleh mencecah antara RM50 hingga RM200 sehari bagi setiap individu.

“Lebih baik kita bayar sedikit daripada terbeban dengan memberi makan beratus ribu (orang) di depoh tahanan.

“Sebab itu penyelesaiannya, kita mesti keluarkan mereka,” ujarnya.

Usaha tersebut merupakan antara langkah kerajaan untuk menangani isu pelarian Rohingya yang berada di Malaysia, dengan penghantaran pulang dirancang secara berperingkat berdasarkan persetujuan yang dicapai bersama pihak Myanmar.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!