PGA Rampas Kayu dan Jentera Bernilai RM2.32 Juta di Kuala Krai

Pelbagai jenis kayu hutan disyaki tidak bercukai bersama beberapa jentera bernilai keseluruhan lebih RM2.32 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di sebuah kilang kayu di Sungai Embak, Kuala Krai.

Menurut laporan Bernama, operasi pada 3 Ogos itu dijalankan anggota Risik Batalion 8 PGA kira-kira jam 3 petang.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi dilakukan selepas anggota mengesan seorang lelaki sedang mengendalikan jentera berat yang membawa muatan kayu di dalam kilang berkenaan.

“Susulan itu, pihak kami telah merampas 16,440 batang kayu siap pelbagai saiz dan spesies bernilai RM164,400 serta 462 batang kayu bulat pelbagai saiz dan spesies bernilai RM46,200.

“Rampasan juga membabitkan lima jentera termasuk sebuah kenderaan bernilai RM2.02 juta, 45 mata gergaji bernilai RM90,000,” katanya dalam kenyataan pada 4 Ogos.

Lima lelaki ditahan

Dalam operasi sama, lima lelaki berusia antara 31 hingga 62 tahun termasuk pemilik kilang turut ditahan.

Kesemua mereka kemudian diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Jajahan Machang untuk siasatan di bawah Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Menurut Ahmad Radzi, kayu yang telah siap diproses dipercayai akan dibekalkan kepada beberapa kilang pemprosesan palet kayu di Kelantan.

“Bekalan kayu yang siap diproses dipercayai diedarkan kepada beberapa kilang pemprosesan palet kayu di sekitar Kelantan sebagai bahan mentah untuk penghasilan palet dan produk berasaskan kayu.

“Pengedaran tersebut dipercayai dibuat secara berperingkat mengikut permintaan pelanggan bagi tujuan pemasaran dan pembekalan kepada pasaran tempatan serta sektor perindustrian,” katanya.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!