Bermula dengan niat mahu menurunkan berat badan, Muhammad Rayqal Hakimi Rosli kini mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat skuad judo Kelantan di pentas Sukan Malaysia (SUKMA).
Menurut laporan Bernama, atlet berusia 16 tahun itu menjuarai kategori lelaki bawah 73 kilogram (kg) pada SUKMA Selangor 2026 selepas menewaskan Muhammad Firhan Iman Mohd Faizal dari Terengganu.
Dalam aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada Sabtu, Rayqal memastikan kemenangan menerusi ippon atau mata penuh.
Kejayaan itu menjadi pingat emas kedua buat Kontinjen Kelantan selepas Wan Alim Husam Wan Lukman membuka tirai kutipan emas menerusi acara taekwondo lelaki bawah 58kg pada Jumaat.
Rayqal mengakui terkejut dengan kejayaan tersebut kerana pada awalnya dia hanya meletakkan sasaran untuk mara ke perlawanan akhir.
“Perasaan agak terkejut sebab tak jangka dapat menang pingat emas. Sebelum ini, dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan ada juga masuk final tetapi tidak pernah menang emas.
“Bagi saya kemenangan ini permulaan yang baik untuk sukan judo Kelantan bagi melahirkan lebih ramai atlet judo berbakat,” katanya.
Bermula Kerana Mahu Turunkan Berat
Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor itu mula mengenali sukan judo ketika berusia 13 tahun.
Pada waktu itu, Rayqal tertarik untuk menyertai kelas judo kerana mahu menurunkan berat badannya.
“Pada awalnya saya tak pernah tahu judo ini macam mana. Bila ada kelas dan mereka buka pendaftaran kepada sesiapa yang berminat, saya fikir pasal nak kurus, jadi saya letak nama.
“Saya sertai judo ketika di tingkatan satu, masa itu berat 76kg dan sekarang saya kekalkan berat di bawah 73kg,” katanya.
Selepas muncul juara SUKMA, Rayqal kini menyimpan impian lebih besar untuk mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2027.
Berpotensi Ikut Jejak Juara Komanwel
Jurulatih judo Kelantan, Muhamad Mazuan Zainal Abidin menyifatkan Rayqal sebagai atlet yang mempunyai prestasi dan disiplin baik.
Beliau percaya anak buahnya itu berpotensi mengikut jejak pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2026, Amir Daniel Abd Majeed sekiranya terus menunjukkan perkembangan positif.
“Prestasi dan disiplinnya bagus, begitu juga pencapaiannya. Saya harap Rayqal akan terus maju dan mampu untuk menjadi seperti Amir Daniel,” katanya.
Setakat 15 Ogos, Kelantan telah mengumpul dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa pada SUKMA Selangor 2026.
Selain emas daripada Wan Alim dan Rayqal, dua pingat perak disumbangkan atlet taekwondo Alya Umairah dalam kategori wanita bawah 63kg serta Nurul Azlina menerusi acara berbasikal MTB downhill wanita.
BERKAITAN: Wan Alim Husam Raih Emas Pertama Kelantan di SUKMA 2026
Pingat gangsa pula diraih Nur Natasya Syamimi dalam acara MTB downhill wanita dan Muhammed Daniez Daniel menerusi acara seni solo kreatif pencak silat.
Sumber: Bernama, MSN Kelantan
