Wan Alim Husam Raih Emas Pertama Kelantan di SUKMA 2026

Atlet taekwondo, Wan Alim Husam Wan Lukman mencipta detik membanggakan apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat Kontinjen Kelantan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Menurut perkongsian Persatuan Taekwondo Negeri Kelantan, kapten pasukan itu mempamerkan aksi bertenaga dalam final yang digelar sebagai ‘Perentapan Pantai Timur’ apabila berdepan wakil Terengganu.

Dalam acara taekwondo lelaki bawah 58 kilogram (kg) pada Jumaat, atlet berusia 18 tahun itu menewaskan Muhammad Aidil Hakimi dengan keputusan 2-1 untuk muncul juara.

Menurut laporan TVS, kejayaan tersebut turut disaksikan ibunya, Raja Azian Raja Yahya, yang sanggup menempuh perjalanan jauh dari Wakaf Bharu ke Shah Alam bagi memberikan sokongan kepada anaknya.

“Alhamdulillah, saya gembira. Dia bermain sejak kecil dan selalu menang. Jadi memang ada harapan dan rasa dia boleh menang.

“Saya serahkan segalanya kepada Allah dan hari ini rezeki dia,” katanya.

Raja Azian sebelum ini turut menyaksikan Wan Alim beraksi pada SUKMA Sarawak 2024, namun anaknya pulang tanpa membawa sebarang pingat.

Penantian selama dua tahun itu akhirnya terbalas apabila Wan Alim berjaya menaiki podium tertinggi pada edisi kali ini.

Tekanan Menjadi Pembakar Semangat

Bagi Wan Alim, kejayaan tersebut merupakan impian yang sudah lama disimpan selepas melalui perjalanan panjang dan pelbagai cabaran.

“Kalau cakap pasal tekanan, semua orang ada tekanan masing-masing. Bagi saya tekanan ini perlu ada untuk berjaya. Tanpa tekanan, tiada kejayaan,” katanya.

Pesanan jurulatih supaya memberikan segala-galanya menjadi pegangannya ketika berdepan situasi getir dalam perlawanan akhir.

Keyakinan untuk terus berjuang sehingga tamat membantunya bangkit sebelum memastikan kemenangan 2-1 ke atas lawannya.

Ketua Jurulatih Kelantan, Siti Suziyah Che Omar berkata, persiapan Wan Alim bagi menghadapi SUKMA Selangor bermula sebaik sahaja temasya SUKMA Sarawak 2024 berakhir.

Kegagalannya meraih pingat pada edisi lalu menjadi pembakar semangat kepada barisan kejurulatihan untuk memperkemaskan persediaan, termasuk mendapatkan khidmat jurulatih luar.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira kerana beliau sendiri sudah berusaha habis-habisan untuk sampai ke tahap ini,” katanya.

Hat-Trick Emas Taekwondo Kelantan

Kejayaan Wan Alim turut melakar rekod buat Pasukan Taekwondo (WT) Negeri Kelantan apabila meraih pingat emas dalam tiga edisi SUKMA yang mempertandingkan sukan berkenaan secara berturut-turut.

Kelantan sebelum ini meraih emas dalam SUKMA 2018 dan SUKMA 2024 sebelum meneruskan pencapaian itu pada edisi 2026.

SUKMA 2020 dibatalkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, manakala acara taekwondo tidak dipertandingkan pada SUKMA 2022.

Pingat gangsa acara lelaki bawah 58kg pula menjadi milik Yuvanesh Kathiresan dari Johor dan Vimal Appasmy dari Perlis.

Sumber: Persatuan Taekwondo Negeri Kelantan TM, TVS

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!