Kelantan menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan model padanan perniagaan koperasi sekolah yang menghimpunkan 137 koperasi bersama syarikat dan rakan strategik.
Inisiatif berkenaan bertujuan membuka lebih banyak peluang perniagaan, memperluas rantaian bekalan dan meningkatkan keupayaan koperasi sekolah menjana pendapatan.
Menurut laporan Bernama, Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Zaharuddin Alias berkata, model itu membolehkan koperasi sekolah mendapatkan pembekal secara lebih tersusun.
Melalui gabungan permintaan dalam jumlah yang lebih besar, koperasi juga berpeluang mendapatkan harga lebih kompetitif serta meneroka bidang perniagaan baharu.
Pendekatan itu membolehkan koperasi sekolah tidak lagi hanya bergantung kepada aktiviti tradisional seperti penjualan buku, pakaian dan peralatan sekolah, sebaliknya memasuki bidang yang mempunyai nilai pasaran lebih besar.
“Program padanan ini merupakan yang pertama di Malaysia, oleh itu kita melihat ini adalah satu model yang cukup baik dan kita akan membawanya untuk dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pemerkasaan Ekonomi Bersama Koperasi Sekolah Menengah di seluruh Kelantan dengan kerjasama Koperasi Orang Kota Bharu Berhad (COOP OKB) di Kota Bharu pada Sabtu.
Teroka automotif, EV dan barangan elektrik
Menurut Zaharuddin, kira-kira 12 syarikat termasuk institusi perbankan terlibat dalam inisiatif tersebut dan jumlah berkenaan dijangka terus bertambah dari semasa ke semasa.
Antara bidang perniagaan yang sedang diteroka ialah barangan elektrik, automotif, kenderaan elektrik serta tekstil dan batik.
COOP OKB pula bertindak sebagai penghubung antara koperasi sekolah dengan pembekal serta syarikat yang terlibat.
Peranan itu sekali gus dapat membantu mengurangkan beban pengurusan koperasi sekolah yang berdepan kekangan masa dan tenaga untuk mencari peluang perniagaan baharu.
“Kalau jumlahnya besar, ia ada kuasa untuk mendapatkan harga lebih murah dan model ini boleh membantu merealisasikan sasaran ANGKASA untuk melahirkan 50 koperasi sekolah yang mampu menjana pendapatan lebih RM1 juta,” katanya.
Penglibatan koperasi sekolah di Kelantan dalam aktiviti seperti makanan sejuk beku, goreng pisang dan penyewaan kemudahan turut membuktikan sektor berkenaan mempunyai potensi untuk dikembangkan kepada bidang perniagaan lebih luas.
ANGKASA akan berusaha memperluas model tersebut ke seluruh negara dengan Terengganu dan Pahang dijangka menjadi antara negeri terawal menerimanya.
Inisiatif sama kemudiannya akan diperluas ke negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.
Usaha tersebut selari dengan matlamat memperkukuh gerakan koperasi sebagai mekanisme membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar, guru dan masyarakat.
Pada masa sama, pendekatan itu diharapkan dapat menjadikan koperasi sekolah lebih berdaya saing dan mampu menjana pendapatan secara berterusan.
Sumber: Bernama
