Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dilihat semakin serius membina asas jangka panjang pasukan apabila pembinaan pusat latihan pasukan itu kini sudah bermula di Bandar Baru Tunjung, Kota Bharu.
Lokasi tersebut terletak bersebelahan stesen minyak Petron Tunjung dan hanya beberapa ratus meter dari Stesen ECRL Kota Bharu, sekali gus menjadikannya antara lokasi yang cukup strategik.
Pembinaan semasa yang dikongsikan pegawai pasukan KRW FC : Foto: FB Pikbum
KRW FC dilihat sedikit berahsia dalam pembinaan padang latihan pasukan itu, namun hasil risikan Kelantan Daily, kerja-kerja awal di tapak kini sedang giat dijalankan dengan proses menambak dan memadatkan tanah sudah pun bermula.
Kelantan Daily turut difahamkan kontraktor yang dilantik bagi pembinaan padang ialah Turf Consultancy Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mempunyai pengalaman luas dalam pembinaan serta penyelenggaraan padang bola sepak profesional.
Syarikat tersebut merupakan kontraktor yang menyelenggara padang Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, gelanggang rasmi Selangor FC, selain kini turut terbabit dalam projek padang latihan Negeri Sembilan FC di Mantin.
Padang Stadium MBPJ | Foto: Selangor FC
Ketika ini, proses pemadatan tanah sedang dilakukan secara berperingkat menggunakan jentera roller berat bagi memastikan struktur tanah benar-benar stabil sebelum kerja pembinaan lapisan padang diteruskan.
Rumput Zoysia Jadi Pilihan
Setakat maklumat yang berjaya dikumpulkan, pihak pengurusan KRW FC memilih menggunakan rumput jenis Zoysia bagi padang latihan tersebut.
Rumput ini terkenal kerana lebih tahan lasak, mempunyai permukaan yang padat serta memerlukan penyelenggaraan yang lebih sistematik berbanding beberapa spesies rumput lain yang digunakan di Malaysia.
Rumput jenis Zoysia dikatakan lebih sesuai dengan bolasepak moden kerana lebih nipis berbanding cowgrass yang digunakan secara meluas di stadium-stadium Malaysia termasuk Stadium Sultan Muhammad IV.
Perbezaan jenis rumput Cowgrass dengan Zoysia
Sekiranya semua kerja berjalan mengikut perancangan, padang latihan itu dijangka siap sepenuhnya sekitar November 2026.
Pusat Latihan Atau Mini Stadium?
Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diterima, keputusan sama ada tapak berkenaan akan dibangunkan sebagai pusat latihan asas atau stadium mini masih belum dimuktamadkan.
Difahamkan, pihak pengurusan masih menilai reka bentuk serta skop pembangunan yang paling sesuai mengikut kemampuan kewangan dan keperluan jangka panjang kelab.
Kelantan Daily menjangkakan sekiranya pembinaan bangunan tetap mengambil masa, struktur sementara berasaskan kontena yang dilengkapi kemudahan asas seperti bilik persalinan, tandas dan ruang pengurusan berkemungkinan akan dibina terlebih dahulu sebaik sahaja padang siap, sekaligus membolehkan pasukan mula menggunakan kemudahan tersebut.
Sekiranya pelan pembangunan stadium mini diteruskan pula, Kelantan Daily menjangkakan pembinaan awal mungkin melibatkan sebuah astaka berkapasiti sekitar 2,000 penonton kebawah, manakala ruang di bahagian bawah dijadikan bilik persalinan, pejabat pentadbiran serta kemudahan asas pasukan.
Gambaran Ai Grandstand dengan kapasiti 2,000 tempat duduk
Apa pun bentuk pembangunan yang dipilih nanti, satu perkara yang jelas ialah projek pembinaan pusat latihan Kelantan Red Warrior FC kini sedang berjalan, sekali gus menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha membangunkan kelab secara lebih profesional untuk jangka panjang.
Gambaran ilustrasi janaan Ai Pusat Latihan Kelantan Red Warrior FC
