Perjalanan pulang selepas menyertai program permotoran Superbike Fighter (SBK) 2.0 bertukar tragedi apabila seorang wanita berusia 40 tahun maut dalam kemalangan di Jambatan Kuala Ibai, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa yang merupakan pegawai sumber manusia dari Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa ketika kejadian dipercayai sedang dalam perjalanan ke inap desanya di Dungun.
Sebelum itu, wanita terbabit dikatakan menyertai program SBK 2.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus.
Menurut Azli, kejadian berlaku ketika mangsa melalui laluan berselekoh di lokasi tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang merupakan laluan berselekoh, motosikal berkuasa tinggi jenis Aprilia ditunggangi mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan.
“Ia menyebabkan motosikal itu terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sehingga menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan wanita berkenaan sudah meninggal dunia.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber: Kosmo
