Seorang peniaga pasar malam dipenjara sehari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku bersalah mencuri tujuh bungkus kopi jenama Nescafe di sebuah kedai serbaneka di Melaka.
Menurut laporan Sinar Harian, tertuduh, Nazarudin Ahmad, 36, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman pada Rabu.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencuri tujuh bungkus Nescafe bernilai RM105.70 di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Cheng Indah, Melaka Tengah pada jam 8.21 malam, 7 Julai lalu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tertuduh memasukkan tujuh bungkus kopi itu ke dalam seluarnya sebelum menutupnya menggunakan baju dan keluar dari premis tanpa membuat sebarang pembayaran di kaunter.
Kes itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.
Peguam yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan memaklumkan anak guamnya sudah berkahwin, mempunyai empat orang anak dan bekerja menjual ayam goreng di pasar malam di Jasin dengan pendapatan tidak tetap.
Menurut pihak pembelaan, tertuduh melakukan perbuatan itu kerana kesempitan kewangan bagi menampung keperluan keluarga selain menginsafi kesalahannya dan berjanji tidak akan mengulanginya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran dan pencegahan kerana kesalahan itu bukan melibatkan keperluan mendesak, sebaliknya untuk kegunaan di rumah.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000, atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Sumber: Sinar Harian
