Kelantan Red Warrior FC (KRW) memulakan persiapan menghadapi saingan Liga Super dengan penuh semangat, namun pasukan itu masih berdepan beberapa kekangan yang perlu diselesaikan sebelum dapat melengkapkan skuad.
Ketua jurulatih KRW, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pasukannya berbangga kerana berjaya layak ke Liga Super secara merit dan kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi musim baharu.
Menurutnya, isu teknikal yang sedang dihadapi bukan berpunca daripada pihak KRW, namun memberi kesan kepada usaha pasukan mendapatkan pemain import dan pemain tempatan baharu.
"Yang pertama memang kita bersedia untuk bermain di Liga Super. Dan kita berasa bangga kerana dapat bermain di Liga Super masuk secara merit."
"Walau bagaimanapun pihak pengurusan berdepan beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan, sebenarnya bukan masalah kita, masalah orang kita terpaksa selesai."
Irfan menjelaskan, selagi isu berkenaan belum selesai, KRW masih tidak boleh mendaftarkan pemain baharu kerana digantung oleh FIFA.
"Selagi tak selesai masalah ini, selagi itu kita tak boleh mengambil pemain import atau pemain tempatan. Kerana masalah ini kita digantung oleh FIFA yang sebenarnya kes ini tak ada kena mengena dengan kita."
Beliau bagaimanapun yakin pihak pengurusan sedang berusaha menyelesaikan perkara tersebut dalam masa terdekat.
Katanya, bagi menghadapi saingan Liga Super yang lebih mencabar berbanding Liga A1, KRW perlu memilih pemain import yang benar-benar berkualiti selain memperkukuhkan skuad tempatan.
"Kerana nak bertanding dalam Liga Super ini, kita harus mempunyai material yang layak main di Liga Super. Jadi, saya rasa benda ini, insyaAllah, akan selesai dalam masa terdekat."
Menurut Irfan, latihan pra musim sudah pun bermula dengan kehadiran sekitar 18 hingga 20 pemain, manakala pemain import serta beberapa pemain tempatan baharu masih belum dapat menyertai pasukan.
"Hari ini kita memulakan latihan. Kita buat yang ada sekarang. Kita ada 18 hingga 20 pemain untuk berlatih. Tak termasuk pemain import baru yang kita nak ambil dan juga pemain tempatan baru yang kita ambil."
"Jadi, saya yakin yang kita boleh mencapai sesuatu yang baik dalam Liga Super ini."
Mengulas mengenai khabar angin bahawa KRW menerima tajaan daripada 13 syarikat anak jati Kelantan, Irfan mengakui belum menerima maklumat terperinci mengenainya.
"Saya tak pernah dengar lagi 13 tajaan daripada syarikat ini. Jadi kalau betul begitu ia sebab syarikat ini yakin dengan kemampuan kita. Jadi, terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi menaja kami."
Dalam pada itu, beliau berkata para pemain kini kembali bersemangat selepas hampir dua bulan tanpa sebarang perlawanan kompetitif.
Buat masa ini, latihan dijalankan di padang MARDI dan KRW turut menyertai kejohanan di Golok sebagai persiapan awal, dengan pasukan berjaya memenangi perlawanan pertama.
Di akhir kenyataannya, Irfan berharap penyokong Kelantan terus memberikan sokongan padu kepada KRW seperti yang ditunjukkan sepanjang musim lalu.
"Saya harap sekali lagi dengan pemain-pemain yang KRW ada, penyokong Kelantan dapat beri sokongan seperti mana anda memberi sokongan kepada pasukan musim yang lepas."
📽 Dengarkan ulasan daripada ketua jurulatih, Irfan Bakti pada hari pertama kem latihan Kelantan Red Warrior FC di Padang Mardi, petang tadi. Jurulatih berpengalaman itu turut menjawab beberapa persoalan penyokong berkenaan skuad Perwira Merah yang akan bersaing di Liga Malaysia 2026/27. MENGEMBALIKAN KEGEMILANGAN, MEWARISKAN LEGASI. #NaskenCoffee#krw#kelantan#ligasuper