Kelantan Red Warrior FC akhirnya sah beraksi dalam saingan Liga Super 2026-2027 selepas Malaysian Football League (MFL) mengumumkan kelab itu menggantikan PDRM FC yang menarik diri daripada pertandingan musim baharu.
Pengumuman itu menyaksikan wakil dari Kota Bharu tersebut melengkapkan senarai 12 kelab yang akan bersaing dalam Liga Super musim 2026-2027.
Kelantan Red Warrior FC sebelum ini menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro di tangga keempat dan telah melengkapkan semua dokumen yang diperlukan bagi memenuhi kriteria kewangan untuk dipromosikan ke Liga Super.
Walaupun UM Damansara United FC yang menamatkan musim di tangga keenam serta Bunga Raya FC di tangga ke-12 turut mengemukakan permohonan selepas memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada FIB, Kelantan Red Warrior FC dilihat lebih bersedia untuk menyertai saingan liga utama negara.
Sementara itu, Armed Forces FC yang juga beraksi dalam Liga A1 tidak mengemukakan permohonan untuk bertanding dalam Liga Super musim 2026-2027.
PDRM FC pula menghantar surat rasmi penarikan diri kepada MFL semalam selepas membuat keputusan untuk memberi tumpuan kepada proses penstrukturan semula pengurusan kelab.
Dengan penyertaan Kelantan Red Warrior FC, saingan Liga Super 2026-2027 kini lengkap membabitkan 12 pasukan iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC, Melaka FC dan Kelantan Red Warrior FC.
Sumber: MFL
