Status Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) yang sebelum ini dikatakan sebelah kaki ke Liga Super kembali menjadi tanda tanya selepas pengumuman MFL bahawa Liga Super 2026/2027 akan disertai 12 pasukan berbanding 13 pasukan pada musim sebelumnya.
Pengumuman itu memberi tamparan hebat kepada penyokong KRW FC yang sudah berkira-kira untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di pentas tertinggi bolasepak Malaysia selepas layak secara merit. Namun hajat itu perlu ditangguh, satu perkara masih belum dimuktamadkan iaitu status PDRM FC yang akan diputuskan pada 16 Julai nanti.
Yakin MFL Akan Berlaku Adil
Bagi Presiden KRW FC, Dato' Muhamad Zaki Harun dalam satu kenyataan di media sosial rasmi kelab, ini bukan masa untuk membuat sebarang andaian.
Sebaliknya, beliau memilih untuk menghormati proses yang sedang berlangsung dan meletakkan kepercayaan penuh kepada MFL.
"Sehubungan dengan kenyataan yang dikeluarkan, kami menerimanya dengan penuh rasa hormat, positif dan terbuka. Kami yakin MFL sebagai badan menguruskan saingan liga bola sepak profesional negara akan membuat keputusan yang tepat, adil dan bijaksana demi kepentingan pembangunan bola sepak Malaysia."
Menurut beliau, jika peluang itu akhirnya menjadi milik KRW FC, ia bukanlah hadiah percuma.
Sebaliknya ia hasil kerja keras, pengorbanan dan pencapaian yang dibuktikan sepanjang saingan Liga A1 Semi Pro musim lalu.
"Sekiranya kami diberikan kepercayaan mengisi slot ke Liga Super, kami berpandangan bahawa ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Kehadiran kami adalah berasaskan merit dan pencapaian di atas padang.
"KRWFC telah memberikan komitmen sepenuhnya, berkorban dan berusaha sedaya upaya sepanjang saingan Liga A1 Semi Pro musim lalu dengan satu matlamat yang jelas iaitu memperoleh peluang untuk beraksi di pentas tertinggi bola sepak negara."
Bukan Sekadar Kelab, Tetapi Harapan Seluruh Kelantan
Beliau berkata, impian untuk kembali ke Liga Super turut dipikul bersama ribuan penyokong yang tidak pernah berhenti memberi sokongan walaupun pasukan berdepan pelbagai kesukaran.
"Impian untuk beraksi di Liga Super bukan sekadar impian pihak pengurusan dan pemain, malah menjadi harapan seluruh penyokong setia serta rakyat Kelantan yang sentiasa berdiri teguh di belakang kelab dan pasukan. Sokongan yang tidak pernah putus inilah yang menjadi pembakar semangat untuk kami terus melangkah ke hadapan."
Bangkit Selepas Melalui Detik Sukar
Muhamad Zaki turut mengakui perjalanan membina semula bola sepak Kelantan bukan sesuatu yang mudah.
Namun, mereka memilih untuk melihat ke hadapan dan mengembalikan semula maruah pasukan.
"Kita terpaksa menempuh keperitan membersihkan segala kesan dan daki hitam yang ditinggalkan di setiap penjuru, sedangkan sedikit pun ia bukan berpunca daripada kesalahan atau dosa kita. Namun, kita tidak memilih untuk terus menyalahkan masa lalu. Sebaliknya, kita memilih untuk bangkit, membina semula dan mengembalikan maruah bola sepak Kelantan."
Beliau turut mengajak seluruh penyokong terus bersatu serta bersedia menghadapi cabaran baharu sekiranya peluang kembali ke Liga Super menjadi kenyataan.
"Kepada seluruh penyokong, marilah kita terus bersatu dan melangkah seiring dalam mengejar apa yang kita yakin adalah hak kita. Teruskan mendoakan yang terbaik dan bersiap siaga untuk kembali mewarnai Stadium keramat kita di pentas Liga Super, sebagaimana kita telah membuktikan kemampuan ketika mengharungi saingan Liga A1 Semi Pro."
Menutup kenyataannya, beliau menyifatkan setiap cabaran yang ditempuh selama ini menjadi kekuatan buat pasukan untuk terus melakar sejarah baharu.
