Kelantan beri kerjasama penuh siasatan semula kes AllahyarhamWan Ahmad Faris

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan semula pelajar tahfiz yang dipercayai mati dibunuh pada Disember 2013.


Menurut laporang Berita Harian, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan, berkata pihaknya sendiri mahukan keadilan kepada kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris.


"Soal memorandum yang dihantar oleh keluarga Allahyarham semalam, saya tidak boleh mengulas lanjut sebaliknya kita serahkan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan lanjut dan menyeluruh.


"Apa yang pasti di pihak kerajaan negeri dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) serta sekolah tahfiz berkenaan, kita akan memberi kerjasama penuh kepada polis.


"Walaupun sekolah tahfiz berkenaan di bawah kerajaan negeri, tiada perkara diselindungkan, sebaliknya kita mahukan kebenaran kepada kes berkenaan.


"Pada masa sama, kita turut bersimpati kepada keluarga Allahyarham dan berharap siasatan semula ini mampu memberi keadilan kepada Allahyarham," katanya ketika dihubungi.


Semalam media melaporkan, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris menghantar memorandum kepada kerajaan negeri bagi menuntut penjelasan dan komitmen berhubung kejadian tragik itu.


Peguam keluarga, Tengku Shazuan Tengku Sharifuddin dilaporkan berkata, terdapat beberapa tuntutan yang memerlukan penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung kejadian yang berlaku.


Antara persoalan yang timbul adalah perobohan lokasi kejadian iaitu tandas sekolah beberapa minggu selepas kejadian, sedangkan siasatan masih berjalan ketika itu sekali gus menyebabkan timbul persoalan serius selain tindakan itu berpotensi menghilangkan bukti penting.


Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar Tingkatan Empat ditemui mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, di Kok Lanas.


Mayatnya dilaporkan ditemui penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas.


Pakar forensik yang melakukan bedah siasat terhadap mayat Wan Ahmad Faris mengesahkan kes sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.


Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian pelajar itu disebabkan dibunuh oleh individu yang identiti belum dikenal pasti. –#KelantanDaily

TERKINI

APM Ambil Masa Lebih 5 Jam Pindahkan Pesakit Obesiti 180kg Di Pasir Mas
|
Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa lebih lima jam…
Pilihan Raya Negeri SG4 Dijangka Diadakan Serentak Dengan PRU16
|
Empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) iaitu Kelantan,…
200 Unit Vape Bernilai RM20,000 Dirampas Di Tepi Sungai Golok
|
Cubaan menyeludup 200 unit peranti vape ke Thailand gagal…
RESET Himpun 20,000 Penyokong, Fokus Bantu PAS Menang PRU
|
Pimpinan Gerakan RESET menegaskan mereka berjaya menghimpunkan kira-kira 20,000…
Kelantan Catat Kadar Penagih, Penyalahgunaan Dadah Tertinggi – AADK
|
Kelantan terus merekodkan kadar tertinggi penyalahgunaan dadah di Malaysia…
Facebook Dan Messenger Alami Gangguan, Pengguna Di Seluruh Dunia Terjejas
|
Platform media sosial Facebook dan aplikasi Messenger dilaporkan mengalami…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!