Minat mendalam terhadap seni pertukangan besi tradisional mendorong seorang pesara kerajaan mengumpul lebih 100 koleksi senjata tradisional dan moden dari dalam serta luar negara, dengan sebuah golok berhulu ukiran kepala burung menjadi koleksi paling bernilai dalam simpanannya.
Pesara kerajaan, Ahmad Abdullah, 71, berkata golok yang dianggarkan berusia belasan tahun itu dihasilkan secara manual oleh seorang pandai besi tempatan yang terkenal dengan kemahirannya menghasilkan senjata tradisional sebelum meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Menurutnya, hasil tangan artisan seperti itu semakin bernilai kerana setiap ukiran mempunyai identiti tersendiri yang sukar ditiru.
"Golok ini paling saya sayangi kerana ukirannya sukar ditemui dan mengingatkan saya kepada individu yang memperkenalkan saya kepada dunia pertukangan besi.
"Bagi saya, apabila seorang pandai besi meninggal dunia, sebahagian daripada seni dan ilmunya turut lenyap jika tidak diwariskan kepada generasi seterusnya," katanya kepada Bernama.
Ahmad berkata, golok bukan sekadar senjata tradisional, sebaliknya peralatan serbaguna yang digunakan masyarakat Nusantara sejak dahulu, termasuk untuk aktiviti perkebunan.
Beliau menjelaskan golok istimewa itu mempunyai hulu berbentuk kepala burung yang bukan sahaja memberikan cengkaman lebih selesa, malah mempunyai nilai sejarah dan estetika.
"Motif kepala burung ini mengingatkan saya kepada kepala burung Petalawali yang terdapat pada perahu purba Kerajaan Kelantan, yang suatu ketika dahulu digunakan untuk menghantar ufti Bunga Emas ke Siam," katanya.
Menurut Ahmad, setiap koleksi perlu dijaga dengan teliti bagi mengelakkan karat.
"Biasanya saya menyimpannya di dalam almari khas. Setiap tiga bulan, saya akan mengeluarkannya untuk diperiksa sebelum menyapu minyak pada bilahnya," katanya.
Beliau berkata, kebanyakan koleksinya tidak akan dijual kerana sebahagian besar dihasilkan oleh pandai besi yang telah meninggal dunia dan sukar dicari penggantinya.
Minat Ahmad terhadap seni pertukangan besi bermula kira-kira 20 tahun lalu apabila membantu rakannya yang merupakan tukang besi menghasilkan hulu dan sarung senjata.
"Bermula dengan memiliki sebilah golok, saya mula menghargai keunikan seni pertukangan besi dan seterusnya mengumpul pelbagai hasil kerja dari dalam serta luar negara," katanya.
Kini beliau memiliki lebih 100 koleksi senjata tradisional dan moden bernilai melebihi RM20,000 yang merangkumi pelbagai jenis golok, pisau, pedang dan keris dari Jerman, Sweden, Denmark, England, Amerika Syarikat, Jepun, China, Sepanyol dan Portugal.
Antara koleksi yang menjadi perhatian ialah pisau berhulu tanduk rusa dari Sarawak serta keris yang diperbuat daripada kayu kemuning hitam dengan hulu daripada kayu kemuning emas.
Ahmad berharap seni pertukangan senjata tradisional tempatan akan terus dipelihara menerusi inovasi tanpa mengabaikan identiti, nilai estetika dan warisan supaya legasi pandai besi tempatan tidak hilang ditelan zaman.
Sumber: Bernama
