Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia, khususnya golongan muda, berkongsi pandangan, kebimbangan dan aspirasi mereka secara langsung menerusi avatar kecerdasan buatan (AI) yang diperkenalkannya.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata inisiatif itu diwujudkan bagi memastikan pembangunan negara terus berteraskan suara serta kehendak rakyat.
Menurut beliau, pelbagai ikhtiar yang sedang dilaksanakan memerlukan maklum balas rakyat agar setiap dasar dan perancangan dapat memenuhi keperluan masyarakat.
"Jadi, saya amat berharap bahawa kalian boleh kongsikan pandangan, kebimbangan dan aspirasi secara terus melalui avatar ini kerana saya yakin negara hanya akan bertambah baik sekiranya ia berpaksi pada suara dan kehendak rakyat," katanya.
Beliau berkata, beliau mahu terus mendengar harapan anak muda, pengorbanan ibu bapa, pandangan warga emas serta suara rakyat yang mengimpikan masa depan negara yang lebih baik.
Kembar digital berasaskan AI
Dalam hantaran sama, Anwar turut berkongsi video berdurasi dua minit 33 saat yang memaparkan avatar AI sebagai lanjutan digital dirinya untuk berinteraksi dengan rakyat.
"Inilah avatar saya, kembar digital yang diinspirasikan oleh nilai dan visi saya. Satu cara baharu untuk kita berhubung, berkongsi pandangan dan meneroka idea. Masa depan tidak ditunggu. Ayuh kita bina dengan ilmu, integriti dan kerja keras, demi rakyat, demi Malaysia MADANI," katanya.
Menurut video tersebut, orang ramai boleh menghubungi avatar berkenaan melalui pautan WhatsApp berikut: https://wa.me/60378850523
Anwar turut mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang untuk menyertai inisiatif itu bagi mewujudkan wacana yang lebih segar demi pembangunan negara.