Berbaki tiga hari sebelum melapor diri ke Kolej Matrikulasi Kelantan, seorang anak yatim dari Jalan Gajah Mati di Kota Bharu masih buntu memikirkan yuran pendaftaran berjumlah RM499 yang belum dapat disediakan akibat kekangan kewangan keluarga.
Muhammad Amirul Ramli, 18, mengakui dia pernah terfikir untuk menolak tawaran melanjutkan pengajian, namun impiannya untuk mengubah nasib keluarga membuatkan dia memilih untuk terus berjuang.
Ibu Jadi Tulang Belakang Keluarga
Menurut Muhammad Amirul, bapanya telah meninggal dunia lebih 10 tahun lalu dan sejak itu ibunya menjadi satu-satunya tempat bergantung bagi menyara tiga beradik.
Katanya, ibunya mengambil upah membersihkan rumah orang, namun pendapatan yang diperoleh tidak menentu kerana pekerjaan itu tidak dilakukan setiap hari.
"Ketika ditawarkan melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Kelantan, memang gembira tapi berbelah bahagi apabila memikirkan soal kewangan.
"Bagaimanapun ibu memujuk agar menerima tawaran itu malah saya sendiri pun sudah berazam untuk melanjutkan pengajian demi mengubah nasib keluarga," katanya.
Tolak Tawaran UiTM Demi Kurangkan Beban
Muhammad Amirul berkata, dia turut menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu.
Namun, memikirkan kos pengajian dan keadaan kewangan keluarga, dia mengambil keputusan untuk kekal melanjutkan pelajaran di Kelantan.
Sewa Rumah Tertunggak Dua Bulan
Sementara itu, ibunya, Rohani Cheka, 58, berkata anak sulungnya, Mohamad Nur Aiman Ramli, 20, juga sedang menunggu keputusan permohonan melanjutkan pengajian.
Menurutnya, Mohamad Nur Aiman bercadang memilih institusi pengajian di Kelantan supaya dapat berada dekat dengan keluarga selain berhasrat mencari kerja sambilan bagi membantu menampung perbelanjaan pengajian.
Rohani berkata, dia tidak mampu melakukan kerja berat kerana menghidap radang sendi sejak lima tahun lalu dan perlu mengambil ubat setiap hari.
Katanya, pendapatan yang diperoleh digunakan sepenuhnya untuk menampung keperluan harian keluarga, manakala Muhammad Amirul dan adiknya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Skim Bantuan Kanak-kanak sebanyak RM200 seorang.
Tambahnya, sewa rumah sebanyak RM250 sebulan juga sudah tertunggak selama dua bulan.
Terima Bantuan NGO
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan daripada Pengerusi NGO ECJ Cares, Auni Ibrahim bersama kumpulan aktivis masyarakat Asnaf Hunter yang diwakili Engku Mohd Razali Engku Kadir.
Mereka menyerahkan bantuan barangan dapur serta wang zakat bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Agrobank 2006591001569350 milik Muhammad Amirul.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
