Sekumpulan bekas pemain Kelantan yang bernaung di bawah Ex-Treble Kelantan mengumumkan hasrat untuk mengambil alih 80 peratus saham Kelantan Wan Tendong Stable FC (Kelantan WTS FC) dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri itu.
Wakil Ex-Treble Kelantan, Mohd Nor Farhan Muhammad berkata, rundingan antara kedua-dua pihak kini berada di peringkat akhir dan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat selepas semua urusan dimuktamadkan.
Menurut beliau, pengambilalihan majoriti saham itu bertujuan memperkukuhkan pembangunan bola sepak Kelantan selain membina semula pasukan yang lebih tersusun dan berdaya saing.
Mahu Kembalikan Martabat Bola Sepak Kelantan
“Kami sudah mencapai persetujuan bersama dengan Kelantan WTS FC untuk membeli majoriti saham pasukan ini. Jika semuanya berjalan lancar, Ex-Treble Kelantan akan bersama-sama mengangkat semula martabat bola sepak Kelantan.
“Kami juga berharap dapat membawa kembali tokoh pembangunan bola sepak Kelantan seperti Tan Sri Annuar Musa untuk bersama-sama membantu pasukan ini selain mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk bekas pemain dan penaja,” katanya pada sidang media di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat.
Konsortium yang dibentuk itu melibatkan bekas pemain, pihak pengurusan serta penyokong yang pernah bersama ketika era kegemilangan Kelantan.
Rancang Akademi Dan Pasukan Semi Pro
Selain pengambilalihan saham, mereka turut merancang pembangunan akademi bola sepak bagi melahirkan bakat baharu dari peringkat akar umbi.
Malah, sebuah pasukan semi profesional juga dijangka diwujudkan dengan menggunakan nama Kelantan City sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang mereka.
Mohd Nor Farhan berkata, penjenamaan semula itu bukan sekadar pertukaran nama, sebaliknya simbol kepada kebangkitan baharu bola sepak Kelantan yang lebih profesional dan mampan.
Walaupun bakal berlaku perubahan dari segi pemilikan saham, beliau memaklumkan pangkalan pasukan di Tendong dijangka akan terus dikekalkan menerusi kerjasama bersama pihak Kelantan WTS FC.
Antara bekas pemain yang hadir pada sidang media tersebut ialah Mohd Badhri Mohd Radzi atau Piya, Zairul Fitree Ishak, Daudsu Jamaludin dan Farisham Ismail.
WTS FC Terbuka Dengan Kerjasama
Sementara itu, Presiden Kelantan WTS FC, Wan Muhd Ridhuan Abdullah berkata, pihaknya menyambut baik penyertaan Ex-Treble Kelantan sebagai pemegang saham utama demi masa depan bola sepak negeri.
Menurut beliau, pengalaman dan semangat yang dimiliki bekas pemain Kelantan mampu membawa perubahan positif kepada pasukan serta membantu pembangunan bola sepak akar umbi.
“Matlamat utama kami adalah pembangunan bola sepak Kelantan.
“Jika kerjasama ini menjadi kenyataan, ia diharap dapat membuka lembaran baharu buat pasukan dan memberi manfaat kepada bola sepak negeri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya bersedia bekerjasama dengan mana-mana kelab bola sepak di Kelantan termasuk yang beraksi dalam Liga Super, A1 dan A2 demi pembangunan bola sepak negeri secara menyeluruh.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
