Iran Tembak Jatuh 4 Pesawat AS Ketika Misi Selamatkan Juruterbang Di Isfahan

Markas bersepadu angkatan tentera Iran, Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya pada Ahad mendakwa empat pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) ditembak jatuh di ruang udara tengah Iran ketika misi menyelamat juruterbang dilancarkan Washington.

Menurut laporan Xinhua, jurucakap markas berkenaan, Ebrahim Zolfaghari berkata pesawat yang ditembak jatuh itu terdiri daripada dua pesawat pengangkut tentera C-130 Hercules dan dua helikopter Black Hawk.

Beliau berkata, pesawat tersebut disasarkan dalam operasi bersama oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), tentera darat, pasukan sukarelawan Basij serta penguat kuasa undang-undang di selatan wilayah Isfahan.

Zolfaghari mendakwa operasi menyelamat yang dilakukan AS itu merupakan helah yang kononnya bertujuan membawa keluar juruterbang pesawat yang ditembak jatuh di sebuah lapangan terbang terbiar di selatan Isfahan.

Menurutnya, operasi tersebut berakhir dengan kegagalan sepenuhnya susulan tindakan pantas angkatan tentera Iran.

Beliau turut mendakwa Presiden AS, Donald Trump cuba menutup kegagalan operasi ketenteraan itu dengan mengelirukan pendapat awam.

Sebelum ini, IRGC pada Jumaat mendakwa sistem pertahanan udara Iran menembak jatuh sebuah jet pejuang F-35 milik AS di ruang udara tengah Iran, dengan nasib juruterbangnya tidak diketahui.

Bagaimanapun, pihak AS kemudian mendakwa berjaya menyelamatkan seorang juruterbang terbabit dan sedang menjalankan operasi bagi membawa pulang seorang lagi.

Pada Ahad, Trump dalam hantaran di platform Truth Social mendakwa tentera AS telah melaksanakan “antara operasi mencari dan menyelamat paling berani dalam sejarah AS” serta memaklumkan juruterbang kedua juga berjaya diselamatkan dan berada dalam keadaan selamat.

Dalam perkembangan sama, laporan menyebut Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Tehran dan beberapa bandar lain di Iran pada 28 Februari lalu, yang mengorbankan Pemimpin Agung Iran ketika itu, Ali Khamenei, selain beberapa komander kanan tentera serta orang awam.

Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta pangkalan dan aset AS di Asia Barat.


Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Tegur Anak Buat Air, Warga Emas Maut Ditumbuk Anak Sendiri Di Kota Bharu
|
Seorang warga emas berusia 83 tahun disahkan meninggal dunia…
Ibu Tunggal Masalah Mental, Sakit Jantung Tabah Jaga Lima Anak OKU Di Pasir Puteh
|
Seorang ibu tunggal yang menghidap penyakit jantung berlubang serta…
Penganggur Serang Polis Mengaku Bersalah Miliki Parang Depan Pintu UiTM Machang
|
Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu…
[VIDEO] “Jika Diberi Peluang Saya Pun Nak Lepak Disana” – ADUN Melor
|
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam sedikit hangat…
Kelantan Rancang Tambah Lokasi Riadah, Aktiviti Permotoran Untuk Bendung ‘Mat Rempit’
|
Kerajaan Negeri Kelantan merancang menyediakan lebih banyak lokasi riadah…
Kelantan Umum Pakej Rangsangan Ekonomi RM2 Juta Kepada Rakyat
|
Kerajaan negeri Kelantan semalam mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat…
Jawatan Kosong Kelantan