Tel Aviv Dihujani Peluru Berpandu Iran, Jutaan Penduduk Lari Ke Kubu Bawah Tanah

Konflik di Asia Barat terus memuncak apabila lebih 10 letupan kuat dilaporkan menggegar Tel Aviv, Israel pada Isnin susulan serangan peluru berpandu besar-besaran yang dilancarkan oleh Iran.

Letupan tersebut berlaku ketika sistem pertahanan udara Israel cuba memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.

Menurut laporan agensi berita AFP, serangan itu dikesan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sehingga memaksa jutaan penduduk di wilayah utara dan selatan negara itu melarikan diri ke kubu perlindungan bawah tanah.

Dalam satu kenyataan, pihak IDF mengesahkan sistem pertahanan udara mereka telah diaktifkan bagi memintas ancaman peluru berpandu balistik yang menyasarkan kawasan penempatan dan lokasi strategik.

“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah mengenal pasti peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran menuju ke wilayah Israel.

“Sistem pertahanan beroperasi untuk memintas ancaman tersebut,” menurut kenyataan tentera Israel itu.

Fasiliti Rahsia Israel Terjejas

Laporan awal mendapati berlaku kemusnahan besar di pusat bandar Tel Aviv selepas sebuah peluru berpandu Iran didakwa berjaya menembusi sistem pertahanan dan mengenai sebuah kubu bawah tanah rahsia.

Fasiliti tersebut dipercayai menjadi pusat arahan yang digunakan oleh pemimpin tertinggi Israel ketika waktu kecemasan.

Kesan hentaman kuat itu dilaporkan mencetuskan kebakaran besar yang memusnahkan kenderaan serta beberapa infrastruktur di kawasan sekitar.

Israel sebelum ini bergantung kepada sistem pertahanan Iron Dome, iaitu teknologi pemintas jarak dekat yang direka untuk memusnahkan roket sebelum memasuki ruang udara awam.

Namun serangan kali ini dilaporkan tetap mengakibatkan kehilangan nyawa.

Angka Korban Dan Kecederaan Meningkat

AFP melaporkan perkhidmatan ambulans Magen David Adom mengesahkan seorang pekerja di tapak pembinaan maut manakala seorang lagi mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Di Tel Aviv, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dilaporkan cedera parah akibat serpihan peluru berpandu.

Selain itu, penggunaan bom kluster dalam serangan tersebut turut dikesan, mengakibatkan sekurang-kurangnya enam individu cedera parah.

Bom kluster merupakan senjata yang diharamkan oleh kebanyakan konvensyen antarabangsa kerana keupayaannya menyebarkan sub-munisi kecil yang boleh memberi ancaman jangka panjang kepada orang awam.

Krisis Tenaga Dunia Turut Tercetus

Serangan Teheran ini dipercayai sebagai tindak balas selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas sasaran di tengah Iran pada awal Isnin.

Serangan Israel sebelum ini menyasarkan pusat arahan keselamatan, tapak pengeluaran enjin roket serta kemudahan milik Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di Isfahan.

Ketegangan ini juga merupakan gelombang serangan pertama sejak pelantikan Mojtaba Khamenei sebagai Pemimpin Tertinggi Iran yang baharu menggantikan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan gabungan Amerika Syarikat dan Israel pada akhir Februari lalu.

Dalam masa sama, dunia kini berdepan kebimbangan krisis tenaga apabila Iran dilaporkan melancarkan serangan ke atas kemudahan petroleum di Bahrain termasuk kompleks Al Ma'ameer.

Firma tenaga Bahrain, Bapco, telah mengisytiharkan force majeure susulan kerosakan yang berlaku, langkah yang turut diambil oleh pengeluar tenaga di Qatar dan Kuwait.

Campur Tangan Amerika Syarikat

Pada Isnin, Bahrain turut melaporkan satu lagi serangan dron Iran ke atas Pulau Sitra sehingga mencederakan 32 orang.

Menurut kenyataan kementerian kesihatan negara itu, semua mangsa yang cedera merupakan warganegara Bahrain dan terdapat empat kes kecederaan serius termasuk kanak-kanak.

Antara yang tercedera ialah seorang gadis berusia 17 tahun yang mengalami kecederaan teruk di kepala dan mata serta seorang bayi berusia dua bulan.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menerusi temu bual bersama Fox News mendakwa tentera AS telah mengambil tindakan drastik bagi melumpuhkan aset ketenteraan Iran.

“Kami telah menenggelamkan semua kapal Iran dan memusnahkan kebanyakan platform pelancaran peluru berpandu, dengan hanya kira-kira 20 peratus sahaja yang masih tinggal,” dakwanya.

Sehingga kini, situasi di Asia Barat kekal tidak menentu dengan kebimbangan konflik ini boleh mencetuskan perang berskala besar yang melibatkan lebih banyak kuasa dunia.



Sumber: Malaysiakini

SHARE:

TERKINI

Tular Caj RM30 Baiki Kalkulator, KPDN Serbu Premis Di Kota Bharu Untuk Siasatan
|
Isu caj baiki kalkulator yang dimasuki air sehingga mencecah…
Remaja 18 Tahun Ditahan, Bawa PATI Guna Kenderaan Pikap Milik Abang
|
Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sanggup meredah risiko…
Suami Isteri Dera Anak Saudara Usia 10 Tahun Direman 7 Hari Di Machang
|
Suami isteri yang ditahan semalam kerana disyaki melakukan penderaan…
Dulu Bergelumang Najis, Abbe Hae Kongsi Perkembangan Terbaru Pak Din
|
Kisah seorang warga emas yang pernah tular sebelum ini…
Kakitangan Kerajaan Negeri Kelantan Bebas Rasuah, Tiada Yang Didakwa SPRM
|
Kerajaan negeri Kelantan menegaskan bahawa tiada seorang pun kakitangannya…
Mahkamah Tolak Permohonan Reman 4 Suspek Kes Tembak Penjaga Lembu Felda Kemahang 1
|
Mahkamah Majistret Tanah Merah hari ini menolak permohonan reman…
Jawatan Kosong Kelantan