Perkahwinan yang sepatutnya menjadi permulaan bahagia bertukar pilu apabila seorang isteri maut dalam kemalangan, hanya dua hari selepas bernikah.
Itu takdir menimpa Irfan Syabil Ibrahim, 23, selepas isterinya, Nur Ain Izayu Rosli, 28, meninggal dunia dalam kemalangan di Tanah Merah, Kelantan, pada 2 Februari lalu.
Dalam kejadian tragis itu, Nur Ain meninggal dunia di hospital, manakala Irfan mengalami patah kaki kiri.
Pasangan itu baru diijab kabul sebagai suami isteri pada 31 Januari lalu.
Kemalangan Berlaku Selepas Urusan Daftar Perkahwinan
Irfan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pekan, Pahang berkata, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas urusan mendaftarkan perkahwinan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.
Menurutnya, isterinya meminta untuk tidur sebentar kerana keletihan sebelum kejadian berlaku.
“Apabila memasuki kawasan kampung, mata saya tiba-tiba gelap. Saya seperti pitam, langsung tidak nampak apa-apa sebelum kereta terbabas dan melanggar konkrit longkang.
“Akibat hentaman kuat, isteri cedera parah,” katanya.
Irfan berkata, dia hanya sedar selepas orang awam datang membantu dan sempat melihat isterinya muntah darah dengan nafas yang kuat, sebelum akhirnya terdiam.
“Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana saya sendiri tersepit dalam kereta. Ketika itu saya masih berharap dia dapat diselamatkan kerana merasakan nadinya masih berdenyut.
“Saya minta isteri terus dibawa ke hospital. Saya fikir mungkin Allah masih memanjangkan umurnya,” katanya.
Namun, harapan itu berkecai apabila doktor memaklumkan isterinya sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital selepas dimasukkan ke Zon Merah.
“Ketika itu, saya tidak dapat gambarkan perasaan... baru dua hari lalu kami gembira dan bahagia disahkan sebagai pasangan suami isteri.
“Saya sempat menjadi suami selama dua hari sahaja. Tapi saya tetap bersyukur Allah beri peluang itu walaupun sekejap,” katanya.
Majlis Sebelah Lelaki Ditukar Kepada Majlis Tahlil
Menurut Irfan, majlis sebelah lelaki di Pahang yang dijadualkan 15 Februari ini terpaksa ditukar kepada majlis tahlil.
Kini, katanya, dia masih berada di Tanah Merah kerana ingin mengambil peluang sekerap mungkin menziarahi kubur isterinya bagi mengubat rindu.
Dalam pada itu, Irfan turut berkongsi beberapa ‘petanda’ yang dirasakannya luar biasa apabila arwah tiba-tiba memilih pakaian putih pada hari kejadian, walaupun pada awalnya bercadang memakai baju hitam.
“Malah ketika majlis nikah pun tema kami putih. Semua arwah yang pilih, termasuk pakaian dan inai berwarna putih. Dia juga pernah cakap lepas kahwin mahu duduk jauh daripada keluarga.
“Ketika itu saya tidak memahami maksud kata-katanya, namun selepas kemalangan saya merasakan seolah-olah arwah memberi bayangan pemergiannya,” katanya.
Irfan berkata, dia mengenali arwah sejak 2020 menerusi Instagram sebelum bertemu secara bersemuka dua tahun kemudian dan bertunang pada 16 November 2025.
Katanya, arwah yang juga anak sulung daripada tujuh beradik seorang yang sangat mengutamakan keluarga sehingga sanggup menolak peluang pekerjaan demi menjaga adik-adiknya di kampung.
“Selepas berkahwin, arwah merancang untuk tinggal bersama di Pahang selain berhasrat berpuasa dan menyambut Aidilfitri sebagai pasangan suami isteri.
“Bagaimanapun, Allah lebih mengetahui. Biarpun masih bersedih, saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
