“Saya kehilangan ibu angkat, 70 ekor kucing dan lima ekor anjing sekelip mata.”
Demikian luahan pilu Norhaeda Azahari, 51, selepas rumahnya terbakar sehingga meragut nyawa ibu angkatnya serta semua haiwan peliharaan dalam kejadian di Jalan Tok Guru, Kota Bharu, petang semalam.
BERKAITAN: Wanita Warga Emas Maut Dalam Kebakaran Rumah Berhampiran Hotel Pacific Kota Bharu
BERKAITAN: “Saya Nampak Dia Melambai Minta Tolong” – Jiran Sebak Warga Emas Maut Terbakar
Menurut laporan Sinar Harian, Norhaeda ketika kejadian berada di Pengkalan Chepa atas urusan kerja sebelum menerima panggilan telefon sekitar jam 6 petang yang memaklumkan rumahnya sedang terbakar.
Norhaeda Azahari (tengah) ditenangkan oleh rakan-rakan selepas rumahnya terbakar di Jalan Tok Guru, Kota Bharu (Foto: Hazelen Liana Kamarudin | Sinar Harian)
Apabila tiba di lokasi, dia melihat api sedang marak dan menerima khabar duka bahawa ibu angkatnya, Fatimah Mat Said, 89, rentung kerana tidak sempat menyelamatkan diri.
“Sebanyak 70 ekor kucing yang saya pelihara dan berada dalam sangkar semuanya rentung.
“Lima ekor anjing liar yang sering saya beri makan dan berkeliaran di sekitar rumah juga mati,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Kisah Norhaeda memberi makan anjing liar pernah disiarkan di Sinar Harian pada tahun 2023. (Foto: Sinar Harian)
Norhaeda memaklumkan, ibu angkatnya berada dalam keadaan uzur dan penglihatannya semakin berkurangan walaupun masih mampu berjalan.
“Saya masih terkejut dengan kejadian ini kerana insan tersayang dan semua haiwan kesayangan hilang sekelip mata,” katanya dalam nada sebak.
Mayat Fatimah berjaya dibawa keluar oleh pihak polis dan bomba sekitar jam 8.39 malam selepas operasi memadam kebakaran dijalankan.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, PBKII Satyuti Satar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.58 petang.
“Setibanya di lokasi, rumah tersebut didapati hangus sebanyak 98 peratus.
“Seramai 27 anggota bomba dikerahkan untuk operasi memadam kebakaran ini,” katanya.
Terdahulu, insiden itu dilaporkan sebagai kebakaran yang meragut nyawa seorang wanita warga emas di Jalan Tok Guru.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
