Sindiket Pemerdagangan Manusia Guna Inap Desa Di Kelantan Sebagai Transit PATI

Sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand dikesan mengubah modus operandi dengan menggunakan inap desa sebagai lokasi transit bagi menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain, berkata taktik baharu itu dikesan susulan penahanan 15 PATI dalam satu serbuan di sebuah inap desa di Kampung Kota, Kota Bharu pada semalam.

Menurut beliau, serbuan dijalankan kira-kira jam 4 pagi oleh anggota PGA daripada Strike Force dan Batalion Ketujuh selepas pemantauan selama kira-kira 30 minit.

“Anggota PGA memasuki premis dan menemukan 10 PATI di ruang tamu, manakala selebihnya berada di bilik tidur serta berhampiran dapur,” katanya.

Kesemua 15 individu terbabit, termasuk dua wanita, ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah untuk memasuki Malaysia.

Ahmad Radzi berkata, warga asing berusia antara 19 hingga 37 tahun itu berasal dari Myanmar dan Nepal, serta dipercayai sedang menunggu pengangkutan untuk keluar dari negeri ini.

“Siasatan awal mendapati mereka ditinggalkan di inap desa berkenaan oleh ahli sindiket yang kini menggunakan premis seumpama itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Sebelum ini, sindiket menggunakan hotel bajet dan rumah persendirian sebagai lokasi transit sebelum membawa keluar pendatang dari Kelantan,” katanya.

Beliau memaklumkan semua PATI terbabit ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.



Dalam pada itu, Ahmad Radzi berkata PGA akan mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand bagi membanteras aktiviti pemerdagangan manusia serta penyeludupan migran.

Menurutnya, aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan sering berlaku berikutan faktor geografi yang panjang dan kerap dieksploitasi sindiket untuk jenayah rentas sempadan.

Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Inspektor Polis Didakwa Minta, Terima Suapan RM12,000 Di Jeli
|
Seorang pegawai polis berpangkat inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen…
Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
KRW FC Tangguh Pengambilan Pemain Baharu, Tunggu Isu Teknikal Selesai
|
Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC, Irfan Bakti…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!