Set pertama tren elektrik pelbagai gerabak (Electric Multiple Unit – EMU) bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah selamat tiba di Pelabuhan Kuantan, sekali gus menandakan permulaan fasa ujian dan pentauliahan sebelum perkhidmatan penuh dilaksanakan.
Ketibaan tren berkenaan melibatkan dua set EMU untuk penumpang serta dua lokomotif elektrik (E-Loco) bagi pengangkutan kargo, yang akan menjalani pemeriksaan menyeluruh termasuk ujian perjalanan sejauh 8,000 kilometer tanpa kegagalan (Fault Free Run – FFR).
Ujian tersebut bertujuan memastikan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan tren berada pada standard tertinggi sebelum digunakan oleh penumpang dan operasi kargo di sepanjang Laluan Rel Pantai Timur.
Sebelum ini, pemilik projek, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bersama kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan projek ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), memaklumkan penghantaran tren tersebut berlepas dari Pelabuhan Dalian, China dan mengambil masa kira-kira sebulan untuk tiba di Malaysia.
Menurut kenyataan bersama kedua-dua pihak, tren EMU dan E-Loco berkenaan telah melepasi ujian komprehensif serta Laporan Factory Acceptance Test (FAT) sebelum diluluskan untuk penghantaran oleh MRL sebagai pemilik aset ECRL.
Tren berkenaan dibina oleh China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) menggunakan platform teknologi CR200J dan HXD3C, yang telah diubah suai mengikut iklim, bentuk muka bumi serta keperluan penumpang di Malaysia.
Sebanyak sembilan lagi set EMU dijadualkan dihantar pada tahun 2026, manakala baki 10 lokomotif elektrik akan diterima secara berperingkat dalam tempoh sama. Rangkaian ECRL direka untuk kelajuan maksimum 160 kilometer sejam bagi tren penumpang dan 80 kilometer sejam bagi tren kargo.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Darwis Abdul Razak, berkata semua tren akan menjalani ujian menyeluruh termasuk FFR sejauh 8,000 kilometer di bawah penyeliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum memasuki operasi komersial pada Januari 2027.
“Ini akan membuka lembaran baharu dalam mempromosikan ECRL sebagai mod pengangkutan hijau bagi penumpang dan kargo di sepanjang rangkaian rel elektrik sejauh 665 kilometer,” katanya.
Pengarah Urusan CCCECRL, Deng Bo, pula berkata penghantaran pertama tren memainkan peranan penting dalam memastikan operasi ECRL berjalan dengan selamat dan cekap apabila projek memasuki fasa ujian dan pentauliahan.
Dari segi kemudahan, EMU ECRL dilengkapi sistem kawalan rangkaian tren dwi-redudansi untuk pemantauan masa nyata, kabin kelas perniagaan dan ekonomi, kemudahan mesra OKU, serta ruang surau lengkap dengan kemudahan wuduk bagi penumpang Muslim.
Sistem Maklumat Penumpang (Passenger Information System – PIS) turut disediakan bagi memaparkan maklumat jadual, laluan dan sebarang kelewatan secara masa nyata.
Projek ECRL merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, dengan matlamat meningkatkan mobiliti penumpang serta kesalinghubungan kargo antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Projek ini dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027.
Rujukan: Bernama, Kuantan Development News
