Seorang lelaki berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan insiden letupan di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata sembilan individu lain cedera dalam kejadian itu membabitkan dua kontraktor, seorang kakitangan pentadbiran universiti, dua pekerja kafeteria warga asing, serta empat pelajar.
Menurutnya, kesemua mangsa mengalami tahap kecederaan berbeza termasuk cedera parah, melecur serta kecederaan akibat terkena serpihan, susulan letupan kuat yang turut menyebabkan kerosakan pada dinding di kawasan terlibat.
“Sembilan mangsa terlibat dengan kecederaan berbeza termasuk ada mangsa cedera parah, melecur serta kecederaan akibat terkena serpihan kerana letupan berlaku dengan kuat sehingga menyebabkan kerosakan pada dinding di kawasan terlibat,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata, semua mangsa dihantar ke beberapa hospital berdekatan termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta Hospital Sungai Buloh, dan diasingkan mengikut tahap kecederaan masing-masing.
Menurut Fadil, ketika kejadian berlaku kawasan universiti berkenaan belum dipenuhi penuntut kerana kebanyakan masih bercuti.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan kawasan kejadian benar-benar selamat dan mengelakkan sebarang risiko letupan susulan.
BERKAITAN: Insiden Letupan Di Universiti Swasta, Mangsa Meningkat 10 Orang Termasuk Seorang Maut
“Setakat ini, JBPM telah mengesahkan kawasan itu selamat sepenuhnya dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Tambah beliau, pihak pengurusan universiti telah memanggil juruteknik susulan masalah teknikal pada sistem penyaman udara terbabit, namun kerja pembaikan belum sempat dilaksanakan sebelum kejadian letupan berlaku.
Sumber: Malaysia Kini
SHARE:
