Jambatan sementara di Kuala Krai runtuh, surau hampir terjunam

Cuaca buruk dua hari lalu membawa kesan besar di Pasir Kelang, Kuala Krai apabila jambatan sementara yang digunakan untuk kerja pembinaan jambatan baharu kembali hanyut dibawa arus deras Sungai Kelantan.

Arus berkedalaman lebih 22 meter itu bukan saja merosakkan struktur sepanjang 100 meter, malah turut meruntuhkan tebing setinggi kira-kira 20 meter sehingga menyebabkan sebuah surau berdekatan senget dan hampir jatuh ke dalam sungai.

Menurut penduduk, Mohamad Danial Rosli, 23, kejadian ini bukan pertama kali berlaku. Tahun lalu, ketika musim tengkujuh, jambatan sama turut hanyut dalam keadaan hampir sama.

“Empat hari sebelum, kerja-kerja dah tak dijalankan kerana paras air meningkat. Arus deras sungai bawa balak dan dahan pokok patah merempuh jambatan hingga hanyut serta tinggal baki kira-kira 30 meter sahaja,” katanya ketika ditemui di jeti Pasir Era.

Jambatan sementara itu sebenarnya laluan pekerja pembinaan membawa besi dan jentera berat untuk menyiapkan jambatan baharu yang menghubungkan Pasir Kelang ke Pasir Era.

Penduduk pula memang tidak menggunakan jambatan itu sebaliknya bergantung pada bot dan feri sebagai pengangkutan harian.

Berhampiran lokasi itu, sebuah surau yang menjadi tempat persinggahan pemandu feri dan bot kini berada dalam keadaan sangat berisiko.

Tebing yang runtuh akibat hentaman arus deras menyebabkan struktur bangunan itu condong dan tidak lagi selamat digunakan.

“Surau di tebing Pasir Kelang itu pula dah dalam keadaan bahaya, jadi kami tukar solat di surau seberang di jeti Pasir Era,” kata Mohamad Danial.

Seorang lagi penduduk, Rama Jayum Parasureaman, 73, yang sudah mengusahakan kebun getah di kawasan itu selama separuh abad, berharap jambatan baharu dapat disiapkan secepat mungkin kerana ia bakal memudahkan pergerakan penduduk.

“Waktu biasa, nak seberang guna feri dan pada musim tengkujuh pula guna bot. Kalau siap jambatan ini, tak perlu lagi kami redah sungai ini,” katanya.

Jambatan baharu bernilai kira-kira RM30 juta itu mula dibina pada 2021 dan dijangka memberi manfaat kepada beberapa kampung seperti Pasir Kelang Lama, Pasir Kelang Baru, Sungai Taku, Taku Estet dan Buyung Darul Hijrah.



Walaupun terdapat laluan darat, jaraknya terlalu jauh dan boleh mengambil masa hampir dua jam untuk ke Kuala Krai berbanding menaiki feri yang hanya beberapa minit.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

TERKINI

AS Dakwa China Bersedia Hantar Sistem Pertahanan Udara Baharu Kepada Iran
|
Perisikan Amerika Syarikat (AS) mendakwa China sedang bersiap sedia…
Tiga Blok Bangunan SMU(A) Darul Ulum Muhammadiah Bachok Terbakar
|
Satu kebakaran besar mengejutkan penduduk apabila tiga blok bangunan…
Pejabat JKM Tanah Merah Disamun Lelaki Bertopeng, Pengawal Keselamatan Diikat
|
Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanah Merah menjadi sasaran…
Pelajar Tingkatan Satu Maut Dirempuh Kereta Ketika Pakai Kasut Depan Surau Sekolah
|
Suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota…
Uganda Dakwa Sedia Gerakkan 500,000 Tentera Untuk Tawan Iran
|
Ketua tentera Uganda, Jeneral Muhoozi Kainerugaba mencetuskan perhatian antarabangsa…
PGA Rampas 8,000 Pil Yaba Bernilai RM80,000 Di Kebun Sawit Pasir Mas
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sebanyak 8,000 biji…
Jawatan Kosong Kelantan