KOTA BHARU – Berbekalkan semangat tinggi untuk mengubah nasib keluarga, seorang anak jati Kelantan sanggup merantau ke Singapura demi mencari rezeki buat insan tersayang.
Di sebalik keringat dan penat lelah, tersimpan tekad seorang anak, suami dan ayah yang mahu melihat keluarganya hidup selesa.
Kini segala pengorbanan itu membuahkan hasil apabila Muhammad Samzuri Ramle, 31, berjaya membina sebuah banglo bernilai RM200,000 di tanah kelahirannya hasil simpanan sendiri tanpa sebarang pinjaman bank.
Bekerja sebagai pemotong daging kambing di kedai M.A. Osman berhampiran Pusat Tekka, Singapura sejak 2018, beliau memperoleh pendapatan sekitar SGD2,500 sebulan (kira-kira RM8,000) dan mampu menyimpan sekitar RM3,000 setiap bulan.
“Di Malaysia agak sukar untuk dapat gaji tinggi dan komitmen pun banyak. Saya pula tidak ada pelajaran tinggi, jadi kena usaha lebih. Alhamdulillah, sekarang bukanlah kaya tapi cukup makan, mampu menyara keluarga dan menyimpan untuk siapkan rumah,” katanya kepada Bernama.
Hasil simpanan yang dikumpul selama beberapa tahun membolehkan Muhammad Samzuri menyiapkan kediaman impiannya di atas tanah sendiri di Kelantan, dengan pembinaan bermula sejak 2020 dan siap sepenuhnya tahun ini.
Walaupun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau percaya bahawa disiplin, kesungguhan dan kerja keras mampu mengubah nasib diri serta keluarga.
Anak keempat daripada tujuh beradik itu kini menetap di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, dan berulang-alik ke Singapura setiap hari menaiki motosikal untuk bekerja dari Selasa hingga Ahad bermula 6 pagi hingga 5 petang.
Ketika pandemik COVID-19, dia terpaksa menetap di Singapura selama beberapa bulan dengan menyewa bilik berharga SGD450 sebulan, namun tetap cekal meneruskan kerja demi keluarga di tanah air.
“Memang rindu keluarga waktu itu tapi saya harus kuat bekerja demi kelangsungan hidup dan keluarga,” katanya.
Kisah hidup Muhammad Samzuri menjadi bukti bahawa rezeki tidak datang bergolek, tetapi menuntut pengorbanan dan keazaman yang tidak pernah luntur.
#KelantanDaily
Sumber: Bernama
