KOTA BHARU – Kisah seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Bharu boleh dijadikan inspirasi apabila tetap meraih Anugerah Dekan meskipun sibuk bekerja sambilan di gerai makan hampir setiap hari.
Muhammad Hafizuddin Hisammuddin, 20, yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam, mengatur jadual padat dengan kuliah siang hari sebelum bekerja sebagai pelayan gerai dari petang hingga lewat malam, menurut laporan Harian Metro.
Dia yang pernah bekerja sebagai tukang masak selepas tamat sekolah berkata, minatnya dalam bidang masakan menjadi dorongan untuk mencari pekerjaan sambilan tanpa membebankan keluarga.
"Saya memang minat memasak kerana sejak kecil suka tolong emak di dapur jadi gunakan kemahiran yang ada untuk minta kerja sebagai tukang masak selepas tamat sekolah sampai masuk universiti."
Bagaimanapun, Hafizuddin memilih untuk bekerja sebagai pelayan ketika semester berjalan bagi mengelakkan terlalu letih.
"Tapi sebenarnya, saya hanya kerja sebagai tukang masak ketika cuti semester kerana waktu semester berjalan, saya akan jadi pelayan di gerai supaya tidak terlalu letih.
"Kelas biasanya bermula jam 8 pagi hingga 4 petang jadi selepas Asar, saya akan ke gerai kerana kerja bermula jam 5 petang sehingga 1 pagi."
Walaupun jadual ketat, katanya pembahagian masa yang baik membolehkan pelajaran tidak terjejas.
"Begitulah cara saya dan setiap kali ke gerai, saya akan bawa bersama komputer riba kerana jika pelanggan tak ramai, boleh buat tugasan serta ulang kaji pelajaran.
"Memang setiap hari begitu dan kalau ada peperiksaan keesokannya pun, saya tak akan cuti.
"Tapi syukur, saya tetap dapat keputusan cemerlang dan anugerah Dekan dalam semester yang lalu walaupun bekerja."
Anak bongsu daripada empat beradik itu turut menjelaskan, keluarga tidak pernah menghalangnya bekerja asalkan pelajaran diutamakan.
"Alhamdulillah, keluarga sokong dan saya gembira juga kerana kawan, pensyarah juga kakitangan kampus pun ada datang makan di gerai selepas tahu saya kerja situ.
"Jujurnya saya pun tak malu pun bila mereka datang dan tahu saya kerja di gerai sebaliknya bersyukur kerana kedatangan itu menambah hasil jualan.
"Cuma ada juga segelintir individu terdekat usik kata saya kerja ibarat keluarga tak bagi duit, hakikatnya mereka tolong cuma nak cari duit poket sebab ada niat nak beli kereta.
"Apa-apa pun, saya akan buktikan dapat habiskan pengajian dan kalau boleh nak beri inspirasi kepada anak muda di luar sana supaya tidak malu nak cari duit poket walaupun sedang menyambung pengajian. Lagipun, pengalaman kerja sebegini ajar kita rasa bagaimana bermula dari bawah."
#KelantanDaily
Sumber: Harian Metro
