Tiga jam sebelum konvokesyen, ayah pergi buat selamanya

PASIR PUTEH – “Saya menangis dalam kereta selepas dapat berita abah meninggal dunia, tapi kuatkan hati naik pentas kerana cita-cita melihat anak menjadi doktor adalah hasrat arwah,” kata bakal doktor, Siti Ruqyah Adnan, 24.

Ruqyah menerima berita pemergian ayahnya, Adnan Yasin, 76, kira-kira tiga jam sebelum majlis konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil, Kedah pada 2 November lalu.

Menurutnya, keluarganya amat terkejut dengan berita tersebut kerana arwah ayahnya kelihatan sihat seperti biasa dan sempat menghantarnya menaiki bas pada 26 Oktober lalu untuk ke Kedah bagi menghadiri majlis berkenaan.

“Pagi hari konvokesyen, saya sibuk bersiap dan tak sempat periksa telefon, sehingga dapat panggilan daripada salah seorang kakak memaklumkan abah sudah tiada pada jam 7 pagi,” katanya.

Katanya, pada awalnya beliau mahu terus pulang ke kampung, namun menukar fikiran selepas dinasihati rakan dan mengenangkan hasrat arwah ayah yang mahu melihatnya bergelar doktor.

“Kalau ikutkan, saya mahu terus balik ke kampung tetapi atas nasihat rakan dan mengingatkan impian jadi doktor adalah hasrat arwah abah, saya teruskan sehingga tamat majlis sebelum pulang ke kampung dihantar pihak pengurusan universiti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Aman di sini, hari ini.

Ruqyah berkata, arwah bapanya yang juga pesara guru sebelum ini memaklumkan tidak dapat hadir ke majlis konvokesyen kerana perlu menjaga ibunya, Nik Norizan Wan Deraman, 69, yang terlantar akibat penyakit angin ahmar sejak enam tahun lalu.

Ketika kejadian, katanya, arwah bersama ibunya dijaga oleh abangnya manakala adik-beradik lain berada di Kedah untuk meraikan kejayaannya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan selepas lima tahun belajar.

“Abang maklumkan selepas solat subuh, ayah mengaji seperti rutin hariannya, tetapi pagi itu abah mengadu sakit dada sebelum dimaklumkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh.

Memang sedih dan terkejut dengan pemergian abah, tetapi kami reda,” katanya yang bertekad meneruskan cita-cita menjadi doktor seperti diimpikan arwah ayahnya yang juga bekas pengetua sekolah.

Kisah Ruqyah tular di media sosial apabila rakaman video beliau disapa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang menzahirkan ucapan takziah di atas kehilangan ayahnya ketika majlis konvokesyen tersebut. Video itu dimuat naik oleh pegawai khas media beliau, Helmie Khalid.



Anak bongsu daripada 10 beradik itu kini berharap dapat peluang berkhidmat di Kelantan supaya dapat menjaga ibunya yang bergantung sepenuhnya pada lampin dan susu khas.



#KelantanDaily
Sumber: Harian Metro

TERKINI

Penoreh Getah Dipenjara 24 Tahun, 12 Sebatan Amang Seksual Anak Kandung
|
Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan…
Inspektor Polis Didakwa Minta, Terima Suapan RM12,000 Di Jeli
|
Seorang pegawai polis berpangkat inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen…
Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!