KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mendedahkan terdapat pekerja stesen minyak termasuk juruwang serta ahli keluarga mereka yang terlibat dalam kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi di kawasan sempadan Malaysia–Thailand.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata kegiatan itu dikesan sejak awal tahun ini dan menjadi antara cabaran utama penguat kuasa dalam membanteras penyeludupan bahan api di negeri bersempadan tersebut.
“Antara kes yang pernah dikesan, juruwang dan ahli keluarganya sendiri terlibat dalam penyelewengan minyak bersubsidi. Ini antara bentuk cabaran besar bagi kami di lapangan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut Azman, dalam salah satu kes, juruwang di sebuah stesen minyak berhampiran sempadan dipercayai bersubahat dengan iparnya sendiri bagi menyeludup keluar petrol bersubsidi melalui manipulasi sistem meter pam.
Pemantauan di Sembilan Stesen Minyak
Beliau berkata, KPDN telah menjalankan siasatan dan pemantauan di sembilan stesen minyak terpilih sejak awal tahun ini, namun pelaksanaan pemantauan 24 jam berdepan kekangan sumber manusia.
Selain itu, kewujudan ‘tonto’ atau pemberi maklumat kepada penyeludup yang menyalurkan lokasi dan pergerakan pegawai penguat kuasa turut menyukarkan operasi pengawasan di lapangan.
“Apabila tonto ini tahu kawasan selamat, mereka akan maklumkan kepada penyeludup untuk bertindak. Ini menyumbang kepada ketirisan bekalan minyak bersubsidi,” katanya.
Sempadan Terbuka, Risiko Tinggi
Azman menjelaskan, sempadan negeri Kelantan merangkumi 96 kilometer kawasan sungai dari Pengkalan Kubur di Tumpat hingga ke Jeli, serta 36 kilometer kawasan darat yang dipantau oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin.
Beliau berkata, keadaan geografi sempadan yang terbuka menjadikan kawasan pedalaman seperti Jeli dan Rantau Panjang antara lokasi berisiko tinggi.
“Ada tempat jarak antara tebing kedua-dua negara hanya sekitar 10 meter. Pada musim kemarau, sesetengah kawasan boleh dilalui dengan berjalan kaki — memudahkan kegiatan lintas sempadan,” katanya.
Faktor Sosial & Kawalan Baharu
Tambah Azman, hubungan kekeluargaan dan sosial antara penduduk di kedua-dua negara turut menyulitkan pemantauan pergerakan rentas sempadan.
Barangan yang paling kerap diseludup ke Thailand ialah petrol dan minyak masak, manakala penyeludupan diesel berkurangan berikutan jurang harga antara kedua-dua negara semakin kecil.
“Terdapat kira-kira 48 stesen minyak dalam lingkungan 25 kilometer dari sempadan dikenal pasti berisiko tinggi terhadap penyelewengan bahan api. Oleh itu, kementerian tidak lagi membenarkan pembinaan stesen baharu dalam jarak berkenaan,” jelasnya.
Cadangan CCTV & Seruan Kepada Orang Awam
Bagi memperkukuh pemantauan, KPDN mencadangkan agar sistem kamera litar tertutup (CCTV) di setiap stesen minyak disambungkan terus ke pusat pemantauan KPDN.
Azman turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan dan menegaskan bahawa bekalan bahan api dalam negara kekal stabil serta mencukupi.
#KelantanDaily
Sumber: Bernama