KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun disahkan meninggal dunia akibat strok haba selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan di Tanah Putih, Gua Musang, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo, berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 3.50 petang daripada seorang lelaki yang memaklumkan penemuan kanak-kanak berkenaan.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
“Hasil bedah siasat dijalankan pakar Patologi Forensik mendapati punca kematian kanak-kanak tersebut adalah akibat heat stroke,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sik berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelak kekeliruan dalam masyarakat.
Katanya, ibu bapa dan penjaga juga perlu memastikan keselamatan anak-anak sentiasa di bawah pemantauan serta tidak meninggalkan mereka tanpa pengawasan, terutama di dalam kenderaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Gua Musang di talian 09-9121222 atau balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata kes tersebut merupakan kes pertama tahun ini melibatkan kematian akibat strok haba di negeri itu.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak itu dipercayai berada di dalam kenderaan tersebut selama tiga hingga empat jam sebelum ditemukan tidak sedarkan diri.
#KelantanDaily
Sumber: Bernama
