Belanjawan 2026: Ini senarai projek khusus diterima Kelantan

KOTA BHARU – Negeri Kelantan tidak ketinggalan menerima manfaat besar dalam Belanjawan 2026 apabila kerajaan Persekutuan mengumumkan pelbagai projek pembangunan meliputi sektor infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan keselamatan, termasuk di kawasan sempadan negara.

Antara projek utama diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ialah pembangunan Advanced Surgical Block di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian serta pembinaan Klinik Kesihatan baharu di Machang di bawah peruntukan Kementerian Kesihatan berjumlah RM46.5 bilion secara keseluruhan.

Dalam sektor pendidikan, kerajaan akan membina dua institusi baharu di negeri ini, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Pasir Mas dan Sekolah Kebangsaan Long Ghafar 2, Kota Bharu, bagi memenuhi keperluan pelajar berkeperluan khas dan komuniti setempat.

Sementara itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan air dan pembetungan melalui projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Mukim Tiong dan Mukim Jelutong, pembinaan paip pembetungan baharu di Zon Bandar Baru Tunjong, serta Sistem Bekalan Air Luar Bandar Jajahan Pasir Mas.

Selain itu, beberapa jalan utama akan dinaik taraf termasuk Jalan Kubang Kerian–Bachok dari Persimpangan Kubang Kerian ke Persimpangan Binjai dan Jalan Pasir Mas–Salor di Persimpangan Pasir Hor/Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

Kerajaan juga menyokong kegiatan ekonomi di sempadan negara dengan menambah baik prasarana asas melalui naik taraf landasan kereta api Pasir Mas–Rantau Panjang serta menaik taraf jalan sedia ada kepada jalan berkembar empat lorong di Rantau Panjang, bagi memperkukuh aktiviti perdagangan dan mobiliti di sempadan Malaysia–Thailand.

Dalam aspek keselamatan, kerajaan memperuntukkan lebih RM1.5 bilion bagi menaik taraf fasiliti badan beruniform termasuk pembinaan Kompleks Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri di Tok Bali, Kelantan.

Sementara itu, usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) turut diteruskan melalui projek penggantian paip air usang sepanjang lebih 820 kilometer di Kelantan, di bawah Program Non-Revenue Water Kebangsaan bernilai RM3 bilion.

Belanjawan 2026 juga memperkukuh jaringan ekonomi dan pengangkutan serantau dengan meneruskan projek Landasan Berkembar Elektrik Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak yang dijangka siap menjelang akhir 2026.

Keseluruhannya, inisiatif di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan seimbang di seluruh negeri termasuk Kelantan, dengan tumpuan terhadap kesejahteraan rakyat, penyediaan kemudahan asas, serta pengukuhan ekonomi di kawasan sempadan.

#KelantanDaily

TERKINI

12 Pasukan Bola Sepak Kelantan Yang Pernah Mewarnai Liga Malaysia
|
Kelantan pernah dikenali sebagai antara negeri yang paling kuat…
Anwar Lancar Avatar AI, Pelawa Rakyat Kongsi Pandangan Secara Terus Di WhatsApp
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia,…
Rumah Kedai Sedang Diubah Suai Runtuh, Hempap Dua Kenderaan Di Melaka
|
Suasana tenang di Taman Kota Laksamana, Melaka bertukar cemas…
KRW FC Hantar Dokumen Kepada FIFA, Yakin Sekatan Perpindahan Dapat Diselesaikan
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memaklumkan telah menghantar…
JAKIM Nafi Iktiraf Sijil Nikah Rohingya, Guna Nombor Rujukan Palsu
|
Dakwaan mengenai sijil perakuan nikah melibatkan etnik Rohingya yang…
Suami Isteri Ditahan Disyaki Guna Dron Seludup Tembakau Ke Penjara
|
Cubaan menyeludup tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang, Melaka…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!