Polis bongkar makmal ‘ecstasy’, rampasan dadah hampir RM600 juta

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) atau ekstasi menerusi Operasi Pine (Op Pine) di Lembah Klang pada 10 September lalu, dengan rampasan terbesar tahun ini melibatkan 3,586.45 kilogram dadah bernilai RM598.9 juta.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sejak Julai lalu dengan menyewa premis di kawasan perindustrian untuk dijadikan makmal haram sebelum mengedar bekalan ke pasaran tempatan dan antarabangsa termasuk Indonesia dan Australia.

Dalam operasi antara jam 8 pagi hingga 11 pagi itu, empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 51 tahun ditahan. Siasatan awal mendapati mereka berperanan sebagai koordinator, ahli kimia, pembantu serta penghantar bekalan dadah.

“Serbuan pertama di Taman Perindustrian Kepong menahan tiga suspek dan merampas 136 tong serta satu bekas plastik berisi cecair disyaki MDMA seberat 3,330 kilogram, 563 botol kaca berisi cecair bahan kimia seberat 1,200 kilogram, lapan tong dan enam plastik serbuk kimia seberat 213.7 kilogram, serta pelbagai peralatan makmal,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Tambahnya, serbuan kedua di lokasi berhampiran menemui dua bungkus dan satu tong berisi dadah MDMA seberat 25.3 kilogram, selain 10 tong plastik dan satu bekas cecair MDMA seberat 231.15 kilogram, serta sejumlah bahan kimia dengan berat keseluruhan 947.35 kilogram.

Dalam serbuan ketiga di sebuah rumah di Dataran Templer, Selangor, seorang lagi suspek ditahan, namun tiada penemuan dadah di lokasi tersebut.

Menurut Mohd Khalid, tangkapan dan rampasan itu membuktikan rangkaian antarabangsa terlibat kerana dadah yang diproses di negara ini diseludup ke luar negara. Polis kini sedang mengesan pihak lain yang dipercayai menjadi dalang utama operasi tersebut.

Selain dadah, polis turut menyita lima kenderaan pelbagai jenis termasuk Toyota Vellfire, Proton X70 dan Mazda 6, sebuah forklift, wang tunai RM2,000, sebentuk cincin serta syiling emas dengan nilai sitaan keseluruhan mencecah RM336,224.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 11 September dan disambung seminggu lagi bagi membantu siasatan.

#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian, Astro Awani, Harian Metro, Berita Harian

TERKINI

Kerajaan Kelantan Tidak Iktiraf Pelantikan Ketua Rohingya Di Setiap Daerah
|
Kerajaan Kelantan menegaskan bahawa pihaknya tidak mengiktiraf pelantikan ketua…
Seakan Pertubuhan Rasmi, Pelarian Rohingya Lantik Ketua Setiap Daerah Di Kelantan
|
Tular di media sosial mengenai kewujudan sebuah laman yang…
Bekal Air Ketum Kepada Nelayan, Dua Lelaki Ditahan Di Tok Bali
|
Kegiatan membekalkan air ketum kepada nelayan dan awak-awak kapal…
Warga Emas Ditahan Bawa 800kg Beras Seludup Dari Thailand Di Tanah Merah
|
Cubaan seorang lelaki warga emas untuk meloloskan diri daripada…
Ronaldo Pemain Pertama Jaring Gol Dalam Enam Piala Dunia
|
Cristiano Ronaldo terus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain terhebat…
Israel Dijangka Berperang Dengan Mesir Dalam Tempoh 15 Tahun
|
Seorang aktivis Zionis terkemuka meramalkan Israel berkemungkinan berdepan peperangan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!