Seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus pelaburan mengalami kerugian kira-kira RM1.2 juta selepas diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’ selama dua bulan.
Mangsa yang juga seorang ibu tunggal berusia dalam lingkungan 50-an itu menyerahkan wang simpanan, barangan kemas serta wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada sindiket berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa hanya tampil membuat laporan polis kira-kira dua minggu lalu selepas menyedari dirinya telah diperdaya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai polis.
Individu tersebut kemudian memberitahu mangsa bahawa dia kononnya terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.
Terima Enam Hingga Lapan Panggilan Sehari
Menurut Mohd. Yusoff, sindiket terbabit dipercayai menggunakan teknik ‘spoofing’ ketika menghubungi mangsa.
Teknik berkenaan menyebabkan nombor telefon yang tertera pada skrin mangsa kelihatan seperti nombor milik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
“Siasatan awal mendapati, mangsa menerima enam hingga lapan panggilan sehari daripada sindiket. Sepanjang tempoh dua bulan, mangsa menyerahkan wang simpanan, barangan kemas dan wang KWSP bernilai hampir RM1.2 juta kepada sindiket berkenaan.
“Berdasarkan keterangan wanita itu, segala wang di dalam bank miliknya habis licin diserahkan kepada ‘scammer’. Mangsa juga tidak memaklumkan kejadian yang menimpanya kepada ahli keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Hampir RM500,000 Melibatkan Barang Kemas Dan KWSP
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff berkata, siasatan mendapati barangan kemas yang digadai serta wang KWSP milik mangsa bernilai hampir RM500,000 turut diserahkan kepada sindiket.
Mangsa dikatakan hanya menyedari dirinya diperdaya selepas melalui tempoh dua bulan tersebut sebelum membuat laporan polis kira-kira dua minggu lalu.
“Setakat ini, kes melibatkan ibu tunggal ini merupakan kerugian terbesar yang dicatatkan bagi jenayah komersial melibatkan seorang individu. Kita sudah mengenal pasti sindiket yang terlibat dan tindakan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Kes tersebut kini dalam siasatan pihak polis dan tindakan lanjut terhadap sindiket berkenaan sedang dijalankan.
Sumber: Kosmo
