TUMPAT β Sebanyak 85.4 peratus daripada 6,152 responden di Kelantan dilaporkan mempunyai amalan membaca, menjadikan negeri ini antara tiga negeri terendah dalam Kajian Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 yang dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Ariza Ismail, berkata selain Kelantan, Negeri Sembilan (85.3 peratus, 3,630 responden) dan Sarawak (80.1 peratus, 7,967 responden) turut mencatat kadar rendah.
βSelangor mencatatkan kadar tertinggi iaitu 92.7 peratus daripada 20,472 responden,β katanya ketika ditemui pada Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) yang dirasmikan Pengarah Mara Kelantan, Zahrail Affenday Mohamed, di MRSM Tumpat hari ini.
Kajian membabitkan 100,848 responden dari 14 negeri itu turut mendapati rakyat Malaysia membaca purata 24 naskhah setahun pada 2024, dengan pecahan 16 bahan bercetak dan lapan bahan digital, berbanding hanya 15 naskhah pada 2014.
Ariza berkata, peningkatan itu sejajar sasaran 40 buku setahun menjelang 2030 melalui Program Dekad Membaca Kebangsaan (DMK).
Beliau menambah, pelbagai program telah dan akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran berkenaan, termasuk Kembara MDK di sekolah-sekolah serta kerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memanfaatkan bahan bacaan terbitan DBP dalam pengajaran dan pembelajaran.
Katanya lagi, bahan bacaan bercetak DBP, khususnya majalah, masih mendapat sambutan baik terutama dalam kalangan golongan dewasa meskipun perkembangan pesat bahan bacaan digital.
#KelantanDaily
Sumber: Bernama
BACA JUGA: Rakyat Kelantan catat kadar celik kewangan terendah di Malaysia β KWSP
