Rakyat Kelantan catat kadar celik kewangan terendah di Malaysia – KWSP

KOTA BHARU – Rakyat Kelantan dikenal pasti mempunyai kadar celik kewangan paling rendah di Malaysia, diikuti penduduk Sabah dan Terengganu, menurut dapatan kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dijalankan pada 2022.

Pengarah KWSP Wilayah Timur, Rahmat Ali, berkata kajian itu mengambil kira faktor kurang pendedahan mengenai pengurusan kewangan dan simpanan.

Hasil kajian menunjukkan kadar celik kewangan rakyat Kelantan hanya 15 peratus, berbanding 16 peratus di Sabah, 17 peratus di Terengganu dan 41 peratus di Kuala Lumpur.

“Mungkin mereka mempunyai simpanan sendiri tetapi tempat simpanan tidak produktif seperti di rumah atau di bank, yang tidak memberi pulangan tinggi.

“Jika celik kewangan mereka lebih baik, sepatutnya mereka tahu memilih instrumen simpanan yang memberikan pulangan lebih tinggi, contohnya KWSP,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tadbir Urus Media Negeri dan Pihak Berkepentingan di sini hari ini.

Beliau berkata, KWSP kini memberi tumpuan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai caruman formal melalui potongan majikan.

Antara kemudahan ditawarkan ialah i-Saraan dan i-Suri. Melalui i-Saraan, kerajaan memberi insentif RM500 setahun selama 10 tahun jika pencarum menyimpan RM2,500 setahun.

“Caruman ini bukan sahaja membolehkan mereka menikmati insentif dan dividen tetapi juga pelbagai manfaat lain seperti pengeluaran untuk pembelian rumah, pendidikan serta perlindungan jika berlaku hilang upaya atau kematian,” jelasnya.

Setakat ini, KWSP merekodkan 18,385 pencarum i-Saraan, manakala 431 individu mendaftar di bawah i-Suri. Rahmat menyeru lebih ramai masyarakat mengambil peluang ini sebagai pelaburan masa depan.

#KelantanDaily
Sumber: Bernama

TERKINI

[VIDEO] “Hanya Di Kelantan” Masjid Tayang Tazkirah Pada Skrin Gergasi Raih Pujian
|
Tindakan Masjid An-Naim Sri Cemerlang di Kota Bharu menyiarkan…
Kalau Semua Pelakon Kelantan Ini Digabung Dalam Satu Filem, Confirm Meletup!
|
Kalau bercakap tentang pelakon berasal dari Kelantan, industri seni…
Kisah Bekas Bintang Filem Dewasa Dari Jepun Memeluk Islam Selepas Lawatan Ke Malaysia
|
Nama Kae Asakura atau lebih dikenali sebagai Rae Lil…
APM Ambil Masa Lebih 5 Jam Pindahkan Pesakit Obesiti 180kg Di Pasir Mas
|
Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa lebih lima jam…
Pilihan Raya Negeri SG4 Dijangka Diadakan Serentak Dengan PRU16
|
Empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) iaitu Kelantan,…
200 Unit Vape Bernilai RM20,000 Dirampas Di Tepi Sungai Golok
|
Cubaan menyeludup 200 unit peranti vape ke Thailand gagal…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!