Kehadiran Pemimpin Tertinggi PAS di PAU 2026 Curi Tumpuan

Kehadiran beberapa pemimpin tertinggi PAS pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat mencuri perhatian.

Antara pemimpin PAS yang hadir ialah Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari serta Ahli Parlimen Bachok merangkap Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Kehadiran mereka dilihat signifikan ketika kemungkinan kerjasama politik antara dua parti Melayu terbesar negara itu kembali menjadi perhatian.

Ia turut dikaitkan dengan hubungan kedua-dua parti selepas masing-masing berjaya ‘menawan’ beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Kunjungan balas selepas Muktamar PAS

Kehadiran delegasi PAS itu juga dilihat sebagai kunjungan balas selepas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menghadiri Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa pada minggu lalu.

Asyraf Wajdi hadir ke muktamar tersebut bagi mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sehari sebelum perasmian PAU, Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden bersama barisan kepimpinannya turut hadir di WTCKL.

Kehadiran mereka merupakan kunjungan balas terhadap delegasi Pemuda UMNO yang menyertai Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia sebelum ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengetuai 25 anggota delegasi parti itu dalam kunjungan berkenaan.

UMNO sebelum ini bersetuju menjemput kepimpinan tertinggi PAS menghadiri PAU 2026 sebagai membalas jemputan PAS kepada barisan pimpinan parti tersebut.

PAU 2026 berlangsung selama empat hari bermula 9 September.

Sumber: Kosmo

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!