Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Keputusan itu dibuat selepas cadangan peletakan jawatan berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Sabtu.
Anthony berkata, surat peletakan jawatan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Pada masa sama, anggota Kabinet dan Timbalan Menteri daripada DAP akan kekal dalam kerajaan buat sementara waktu bagi memastikan kestabilan politik terus terjamin.
"Saya mengemukakan cadangan ini kepada CEC dan kita membuat keputusan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai reaksi parti terhadap apa yang telah berlaku," katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.
DAP Kekal Dalam Kerajaan
Anthony berkata keputusan hanya membabitkan kedudukannya sebagai anggota Jemaah Menteri, manakala anggota DAP lain dalam kerajaan akan terus menjalankan tugas masing-masing.
Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi mengelakkan tindakan politik yang boleh menyebabkan ketidakstabilan politik.
Anthony turut berkata DAP menyedari terdapat pihak yang berharap parti itu keluar daripada kerajaan susulan perkembangan berhubung pengampunan bersyarat Najib.
"Kita tidak memberi ruang kepada mereka dalam perkara ini," katanya.
Menurutnya, sekiranya semua anggota Jemaah Menteri daripada DAP meletakkan jawatan pada masa sama, keadaan itu berpotensi menjejaskan kestabilan kerajaan.
"Kalau semua letak jawatan sekarang ini, mungkin kerajaan akan tumbanglah.
"Ini yang diinginkan oleh lawan kita. Kita tak nak memberi peluru ini kepada pihak lawan," katanya.
Projek Kementerian Pengangkutan Diteruskan
Mengulas mengenai urusan Kementerian Pengangkutan selepas peletakan jawatannya, Anthony berkata kementerian itu akan terus berfungsi seperti biasa.
Beliau berkata perancangan dan projek yang sudah dilaksanakan akan diteruskan dan peletakan jawatan Menteri tidak bermakna operasi kementerian terhenti.
"Sebab Kementerian tidak berhenti berfungsi apabila Menteri letak jawatan," katanya.
Anthony turut berkata beliau memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan beberapa perkara yang masih tertunggak di kementerian sebelum berbincang dengan Perdana Menteri, namun tempoh berkenaan tidak akan lama.
DAP Hormati Kuasa Pengampunan
Menurut laporan Bernama, Anthony turut menegaskan bahawa DAP menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan.
Pengampunan bersyarat terhadap Najib membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta, menurut maklumat yang diumumkan berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan.
Sumber: Bernama
