Gajah liar jantan yang mencuri perhatian ramai, Sulong Chalil, telah dipindahkan ke Taman Negara Terengganu melalui pintu masuk Tasik Kenyir pada Rabu.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berkata, kawasan berkenaan dipilih kerana mempunyai habitat hutan semula jadi yang sesuai untuk gajah liar.
Pemindahan Sulong juga bertujuan menyediakan persekitaran lebih selamat, selain mengurangkan risiko konflik antara manusia dengan hidupan liar serta kemalangan jalan raya.
“PERHILITAN menegaskan bahawa kebajikan Sulong serta keselamatan orang awam dan anggota operasi sentiasa menjadi keutamaan.
“Setiap tindakan dilaksanakan berdasarkan penilaian keadaan di lapangan bagi memastikan risiko kepada semua pihak dapat diminimumkan,” katanya dalam kenyataan.
Dipantau Sejak 17 Ogos
PERHILITAN memaklumkan pihaknya memantau rapi pergerakan dan keadaan fizikal Sulong sejak 17 Ogos lalu, termasuk kecederaan yang dikesan pada kaki kanannya.
Jabatan itu turut menjelaskan bahawa pergerakan Sulong secara bersendirian bukan petanda gajah berkenaan terpisah daripada kumpulan atau sedang mencari keluarganya.
“Sebagai gajah jantan dewasa, pergerakan Sulong secara bersendirian merupakan tingkah laku semula jadi dan bukannya penanda bahawa ia terpisah daripada kumpulan atau sedang mencari keluarganya.
“Selepas menilai aspek keselamatan, lokasi dan tahap kesihatan Sulong, operasi menangkap semula telah berjaya dilaksanakan pada 30 Ogos di kawasan JRTB, Gerik, Perak,” katanya.
Rambai dan Cheri Bantu Pujuk Sulong
Proses pemindahan Sulong dilaksanakan PERHILITAN dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa.
Operasi itu turut mendapat bantuan dua ekor gajah denak, Rambai dan Cheri, yang digunakan untuk memujuk Sulong.
Sepanjang operasi berlangsung, Sulong menerima pemantauan dan rawatan veterinar bagi memastikan keadaan kesihatannya terkawal.
“Sepanjang operasi berlangsung, Sulong sentiasa menerima pemantauan dan rawatan veterinar.
“Kecederaan pada kaki kanannya kini menunjukkan perkembangan positif dan rawatan susulan akan diteruskan mengikut penilaian Pegawai Veterinar.
“PERHILITAN merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat serta orang ramai atas kerjasama dan sokongan yang diberikan,” kata jabatan itu lagi.
Sumber: PERHILITAN
