Lebih 3 Jam Tersekat Masuk Kelantan, Jalan Rosak dan Kon Berselerak Jadi Punca

Keadaan jalan berlubang dan tidak rata serta kon keselamatan yang berselerak dipercayai menjadi antara punca kesesakan teruk di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis menuju Bandar Gua Musang.

Menurut laporan Kosmo, kesesakan sejauh hampir 20 kilometer itu berlaku bermula dari pintu masuk daerah Gua Musang berhampiran Kampung Mentara. Keadaan trafik turut perlahan di sempadan Kelantan-Pahang melibatkan kawasan Kampung Mentara dan Kampung Merapoh.

Laluan berkenaan kini masih dalam pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU). Pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan ketika melalui jalan berlubang dan tidak rata, manakala susunan kon keselamatan yang berselerak turut mengehadkan pergerakan trafik.

Seorang pengguna jalan raya, Arshad Ismail, 39, berkata, keadaan jalan serta susunan kon berkenaan menyebabkan pergerakan kenderaan menjadi terhad.

Terkandas hampir tiga jam

Menurut Harian Metro, seorang pengguna, Mohd Asraf Zakaria, 41, bersama keluarganya terperangkap dalam kesesakan hampir tiga jam sebelum tiba di Gua Musang.

Dia menggunakan laluan kampung melalui Kampung Mentara Lama dan Kampung Lepan Jaya atas nasihat rakannya bagi mengelakkan kesesakan di sempadan pintu masuk daerah itu.

“Dengan nasihat daripada rakan, saya menggunakan laluan kampung untuk mengelakkan kesesakan di sempadan pintu masuk dekat Kampung Mentara.

“Seorang rakan meminta saya menggunakan laluan kampung iaitu melalui Kampung Mentara Lama, seterusnya ke Kampung Lepan Jaya.

“Walaupun tidak perlu melalui sempadan pintu masuk dari lebuh raya LTU Kuala Lipis, saya masih terperangkap dalam kesesakan apabila difahamkan terdapat jalan rosak selepas Kampung Lepan Jaya sehingga menyebabkan pemandu memperlahankan kenderaan mereka,” katanya.

Trafik lancar selepas kawasan lencongan

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kesesakan berlaku sepanjang hampir 20 kilometer bermula dari pintu masuk daerah itu berhampiran Kampung Mentara.

Menurutnya, kenderaan bergerak perlahan ketika melalui kawasan lencongan projek pembinaan LTU, namun aliran trafik kembali lancar selepas melepasi lokasi terbabit.

“Setakat ini kita hanya memantau pergerakan kenderaan dan berharap kepada pengguna jalan raya supaya dapat bersabar dan bertolak ansur ketika diatas jalan raya,” katanya.

Sumber: Kosmo, Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!